Penyaluran Royalti Petroleum Terengganu Perlu Telus Dan Ikut Undang-Undang

24
Mohamad Aswadi Mohamad

KUALA TERENGGANU – Penyaluran royalti petroleum kepada Negeri Terengganu perlu dilaksanakan secara telus dan mengikut peruntukan undang-undang.

Ketuanya Penerangan PAS Kawasan Marang, Mohamad Aswadi Mohamad berkata, walaupun terdapat pandangan agar isu tersebut tidak dipolitikkan, fakta yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri tidak boleh diketepikan.

Menurut beliau, penjelasan dalam sidang DUN menunjukkan wujud ketidakseimbangan dalam kaedah penyaluran bayaran royalti.

Katanya, sejumlah RM2.25 bilion bayaran royalti petroleum dilaporkan tidak disalurkan secara terus ke akaun Kerajaan Negeri secara kumulatif sejak tahun 2023.

“Bagi tahun 2025 pula, daripada RM1.37 bilion yang direkodkan, hanya sekitar RM659 juta disalurkan secara langsung, manakala selebihnya melalui mekanisme lain.

“Persoalan utama bukan lagi sama ada bayaran dibuat atau tidak, tetapi bagaimana ia disalurkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petroleum 1975, bayaran lima peratus royalti sepatutnya disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri tanpa melalui kaedah lain yang boleh menimbulkan kekeliruan.

Menurutnya, melabel isu tersebut sebagai “modal politik” tidak membantu menyelesaikan perkara pokok, sebaliknya berisiko mengalih perhatian daripada isu asas seperti ketelusan, pematuhan undang-undang dan hak negeri.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan pendekatan Kerajaan Negeri Terengganu sebagai tegas tetapi berhemah dalam menangani isu berkenaan, walaupun berdepan kekangan penyaluran.

“Ini bukan soal konfrontasi, tetapi keperluan untuk memastikan hak negeri dilaksanakan sebagaimana yang diperuntukkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, PAS Kawasan Marang menegaskan bahawa penyaluran royalti petroleum perlu dibuat secara langsung, telus dan konsisten, selaras dengan peruntukan undang-undang, demi memastikan kepentingan negeri terus terpelihara.