Ameerah Penyambung Kepimpinan, Medan HAMRA Perkukuh Fikrah

432

KUALA TERENGGANU – Ameerah disifatkan sebagai tonggak penting dalam melahirkan barisan kepimpinan wanita muda Islam yang berfikrah jelas, beridentiti teguh dan bersedia mendepani cabaran semasa.

Pengarah Ameerah Terengganu, Sumaiyah Zakaria berkata, peranan Ameerah bukan sekadar menggerakkan agenda wanita muda dalam masyarakat, malah menjadi suara dan harapan penyambung kepimpinan masa depan Muslimat PAS.

“Sebagai entiti mewakili wanita muda, Ameerah terus mengorak langkah mendekati masyarakat dan memperkukuh agenda Sahabat Wanita Muda.

“Program Himpunan Ameerah Malaysia (HAMRA) yang dianjurkan setiap tahun menjadi medan memperkukuh fikrah, memperbaharui semangat dan menyatukan tekad bagi mendepani cabaran yang lebih besar,” jelasnya ketika dihubungi pada hari ini.

Sumaiyah menambah, penyertaan Ameerah dari seluruh negara jelas membuktikan kesatuan fikrah dan kebersamaan amal dalam kalangan penggerak Muslimat muda.

Selain itu, katanya, penglibatan Ameerah dalam Konvensyen Wanita Muda Malaysia turut memberi nilai tambah dengan pengisian kontemporari bertemakan Berkepimpinan, Bermasyarakat dan beridentiti, yang sangat dekat dengan dunia wanita muda hari ini.

Sementara itu, forum khas HAMRA 4.0 menyaksikan mantan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia berkongsi pengalaman perjuangan dalam memperkasa entiti tersebut, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi baharu Muslimat muda.

“Figur-figur yang pernah memimpin Ameerah kini terus berperanan dalam posisi tersendiri, menjadi inspirasi kepada seluruh Muslimat muda untuk terus istiqamah,” katanya.

Beliau turut merakam penghargaan kepada pihak penganjur yang menjayakan HAMRA sebagai wadah kesatuan dan kebersamaan.

“Semoga muktamar kali ini berlangsung dengan jayanya, menjadi pemangkin semangat kepada seluruh penggerak parti di semua peringkat,” ujarnya.