PAS Perlu Fokus Kekuatan Sendiri

23

​BESUT — Ahli-ahli PAS digesa supaya tidak hanya bergantung kepada faktor luaran seperti perpecahan atau kelemahan pihak musuh untuk mencapai kemenangan, sebaliknya perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengukuhan dalaman parti.

​Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Haji Idris Ahmad berkata, kemenangan yang mampan harus dibina atas kekuatan jentera, kecemerlangan akhlak ahli, serta semangat jihad yang kental dalam mendepani cabaran politik semasa.

​”Kita tidak boleh mengharapkan kelemahan musuh. Apa yang kita harapkan ialah kemenangan hasil daripada kekuatan jentera, parti, dan jati diri kita sendiri.

​”Kita tidak bergantung kepada pergaduhan atau perpecahan mereka (pihak lawan). Sebaliknya, kita bergantung kepada usaha kita sendiri dan tawakal kepada Allah SWT,” katanya merujuk kepada situasi politik gabungan lawan yang dilihat nampak bersatu di luar namun mempunyai perbezaan hati yang ketara.

​Beliau berkata demikian ketika dihubungi mengulas ucapan beliau merasmikan Mesyuarat Agung Berkelompok Cawangan-cawangan PAS Kawasan Besut di sini, 24 April lalu.

​Idris turut menekankan kepentingan ahli menjaga imej Islam melalui akhlak yang baik bagi memastikan terdapat perbezaan yang jelas (tamayuz) antara ahli PAS dengan penyokong parti lain.

​Menurut beliau, setiap ahli adalah ‘penjaga benteng’ yang bertanggungjawab memastikan perjuangan Islam tidak ditembus melalui kelemahan atau kecuaian peribadi, terutamanya dari sudut integriti dan tingkah laku di mata masyarakat.

​”Jangan kita menjadi punca kelemahan perjuangan atau merosakkan imej Islam dengan akhlak yang buruk. Kita mesti ada perbezaan. Orang perlu tahu dan nampak keperibadian kita sebagai ahli PAS melalui cara kita bekerja dan berinteraksi,” tegas beliau.

​Dalam pada itu, beliau mahu setiap peringkat gerak kerja termasuk Majlis Tindakan DUN (MTD) dan Unit Daerah Mengundi (UDM) diperkukuhkan seiring dengan persiapan menghadapi pilihan raya yang dijangka bila-bila masa.

​”Kukuhkan cawangan, gerakkan MTD, gerakkan UDM. Selepas kita berusaha sehabis baik, barulah kita bertawakal. Itulah daya juang dan semangat jihad yang sebenar yang kita mahu bina,” tambahnya lagi.

Cawangan Nadi Kekuatan PAS, Jangan Khianati Amanah Perintis

Justeru, Ahli dan kepimpinan PAS di peringkat akar umbi diingatkan supaya tidak mengkhianati amanah tokoh perintis dengan memastikan kelangsungan aktiviti cawangan bagi mengekalkan kekuatan parti.

Ustaz Haji Idris Ahmad menambah, kegagalan mengadakan Mesyuarat Agung di peringkat cawangan sehingga menyebabkan ia dibatalkan pendaftaran adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap pengorbanan generasi terdahulu yang membina perjuangan tersebut.

​”Kita dianggap pengkhianat kalau tidak mengadakan Mesyuarat Agung sehinggakan cawangan dibatalkan. Khianat amanah datuk, ayah, dan emak kita yang menubuhkan cawangan ini satu ketika dahulu dalam keadaan susah payah.

​”Kekuatan PAS bukan terletak pada pimpinan pusat semata-mata, tetapi di tangan tuan-tuan yang menggerakkan cawangan sebagai barisan hadapan (frontliner),” katanya.

​Beliau turut menegaskan bahawa cawangan merupakan nadi utama dalam aspek tarbiah, pembinaan jentera, dan bekalan tenaga kerja untuk parti melaksanakan program kebajikan serta dakwah kepada masyarakat.

​Mengulas mengenai persiapan pilihan raya, beliau memberi bayangan bahawa kemungkinan pilihan raya akan berlaku pada Oktober depan, justeru jentera di peringkat Unit Daerah Mengundi (UDM) perlu mula melakukan pemetaan pengundi (mapping) dengan lebih teliti.

​”Jentera pilihan raya yang sebenar letaknya di cawangan. Tuan-tuan lebih kenal pengundi di lorong dan kampung sendiri berbanding pimpinan atasan. Tugas kita adalah menjaga pangkalan masing-masing agar tidak ditembusi musuh,” ujarnya.

​Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Menteri mengingatkan semua ahli majlis dan jawatankuasa peringkat bawah agar berfungsi sebagai penghubung yang berkesan antara rakyat dan kerajaan negeri.

​Tegasnya, sebagai parti yang memerintah di Terengganu, PAS tidak mempunyai alasan untuk gagal menyelesaikan masalah rakyat terutamanya melibatkan isu kebajikan dan keperluan asas.

​”Aib bagi wakil rakyat jika ada rakyat yang sakit atau susah tetapi maklumat tersebut tidak sampai ke pengetahuan kita. Cawangan mesti menjadi mata dan telinga yang paling rapat dengan rakyat,” katanya lagi.

​Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, YB Haji Khuzaini Rahman serta saf pimpinan tertinggi PAS Kawasan Besut.