KUALA ABANG —Jabatan Amal Malaysia(JAM) DUN Rantau Abang terlibat secara aktif berganding bahu bersama pasukan bomba berhempas pulas dalam operasi memadam kebakaran hutan di Kampung Kuala Abang
Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata di hari ketiga semalam operasi tersebut, seawal jam 9.00 pagi, seramai 11 anggota, mereka turun ke lokasi bagi memperkukuh usaha pemadaman, khususnya di Sektor A yang dilaporkan kembali terbakar di beberapa kawasan.
“Keadaan menjadi semakin mencabar apabila kebakaran melibatkan tanah gambut yang memerlukan masa panjang untuk dipadamkan sepenuhnya.
” Api yang membara di bawah permukaan tanah , perlu dipastikan benar-benar padam bagi mengelakkan kebakaran berulang,” jelasnya.
Ustaz Mohd Fadhli yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN Rantau Abang bercakap demikian ketika dihubungi di sini semalam.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) kawasan itu, berkata, dalam masa sama, asap tebal yang menyelubungi kawasan sekitar turut menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan penduduk berhampiran, terutama golongan berisiko.
“Pihak terlibat berharap agar operasi pemadaman dapat diselesaikan segera demi keselamatan semua,” ujarnya lagi.


Beliau yang terharu dengan kesungguhan pihak bomba, sukarelawan, Jabatan Amal serta penduduk melahirkan setinggi -tinggi penghargaan di atas komitmen yang diberi.
” Begitu juga kepada para penderma yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan, termasuk menyediakan makanan dan minuman kepada para petugas,
“semangat kerjasama yang ditunjukkan jelas mencerminkan keprihatinan dan kekuatan komuniti dalam menghadapi situasi mencabar ini, ” katanya.
Untuk perkembangan terkini, Ketua Operasi JAM Dungun, Utbah Hassan memberitahu memandangkan hujan pagi tadi dan semalam, api dan asap sudah mula berkurangan.
” Alhamdulillah hari ini keadaan terkawal, kami yang turut dibantu oleh Alternatif Riding Club(ARC) dan pemuda tempatan tidak turun menyertai operasi,
“kalau sebelum ini, operasi dibahagikan pada dua bahagian iaitu Sektor A, sebelah tali air selepas Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang (SMAKAKA) dan Sektor B, di belakang SMAKAKA,” jelasnya.






























