DUNGUN – Yang Dipertua PAS Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli mengecam sekeras-kerasnya tindakan penganjuran ‘Rain Rave Water Music Festival 2026’ sambil mengingatkan penganjur tidak mengadaikan nilai negara.
Ahli Parlimen Dungun itu juga mempersoalkan, adakah festival seperti ini selari dengan nilai dan budaya semua agama di Malaysia, termasuk Islam, serta adat ketimuran yang selama ini menjadi asas kepada keharmonian masyarakat majmuk kita?
“Malaysia bukan negara yang kosong daripada identiti, kita dibina atas asas kesopanan, adab dan rasa hormat antara agama serta budaya.
“Program yang menggalakkan pergaulan bebas dan suasana tanpa batas di ruang awam bukan sahaja mencabar sensitiviti umat Islam, malah tidak mencerminkan nilai murni yang dikongsi bersama oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam nada kecewa.
Ustaz Wan Hassan berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 29 April
mengulas penganjuran festival yang dijadual berlangsung di Bukit Bintang bermula 30 April sehingga 2 Mei depan sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau menyelar tindakan tersebut bukan sekadar acara hiburan, tetapi manifestasi jelas kepincangan keutamaan kerajaan.
” Apabila unsur komersial dan tarikan pelancongan diletakkan mengatasi sensitiviti agama, nilai budaya serta kesejahteraan sosial masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa festival ini tidak wajar diluluskan, apatah lagi disokong oleh mana-mana agensi kerajaan.
“Konsep yang dibawa iaitu pesta air terbuka, pergaulan bebas lelaki dan perempuan serta suasana hiburan melampau yang bukan sahaja bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia,
“malah membuka ruang kepada keruntuhan akhlak dan normalisasi budaya hedonisme, khususnya dalam kalangan generasi muda,
“Dalam Islam, prinsip menjauhi jalan kepada kemungkaran adalah jelas, nilai haya’ atau rasa malu adalah asas pembinaan masyarakat beradab dan bertamadun, penganjuran festival seperti ini jelas bertentangan dengan nilai tersebut,.” jelasnya lagi.
Sambil melahirkan kekecewaan dengan kenyataan Menteri MOTAC yang menyatakan bahawa penyertaan dalam acara ini adalah secara “sukarela”, dan mereka yang tidak bersetuju boleh memilih untuk tidak menyertainya.
Katanya, kenyataan sedemikian memperkecilkan isu sebenar, seolah-olah maruah agama dan nilai masyarakat hanyalah soal pilihan individu.
“Dalam sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan tidak boleh bersembunyi di sebalik alasan “kebebasan memilih” untuk menghalalkan penganjuran program yang jelas mencabar adab, tatasusila dan sensitiviti umat Islam,.
“Saya juga menolak hujah bahawa festival ini wajar diteruskan atas nama merangsang ekonomi, menyokong perusahaan kecil dan sederhana serta memberi manfaat kepada golongan B40,” tambahnya.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi tidak boleh dijadikan lesen untuk menggadaikan nilai masyarakat, negara yang matang tidak membina ekonominya melalui peniruan budaya luar yang tidak selari dengan identiti sendiri, sebaliknya mengangkat warisan, budaya tempatan dan jati diri sebagai kekuatan utama.
“Hakikatnya, konsep festival air berskala besar seperti ini bukanlah berasal daripada budaya Malaysia, ia banyak dipengaruhi oleh model luar seperti Songkran di Thailand, yang pada asalnya merupakan perayaan tradisional keagamaan,
“namun kini telah berkembang menjadi pesta air berskala besar yang sarat dengan elemen hiburan moden dan pelancongan semasa, lebih-lebih lagi, negara yang mengamalkan festival seumpama ini sendiri berdepan dengan pelbagai kesan sampingan,” terangnya.
Katanya, laporan antarabangsa menunjukkan peningkatan kes kemalangan jalan raya dan kematian sepanjang musim festival akibat faktor seperti mabuk dan kecuaian.
“Bahkan di Thailand sendiri, pihak berkuasa terpaksa memperketatkan peraturan termasuk kawalan pakaian, larangan kelakuan tidak senonoh serta penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan alkohol bagi mengawal implikasi sosial festival tersebut.
“Persoalannya, jika negara asal festival ini sendiri berdepan cabaran sosial dan keselamatan sehingga memerlukan kawalan ketat, mengapa Malaysia mahu menormalisasikan konsep seumpama ini di ruang awam utama seperti Bukit Bintang?, tanyanya lagi.
Justeru, beliau menuntut dengan tegas agar kerajaan membatalkan serta-merta penganjuran demi menjaga maruah agama, negara dan keharmonian masyarakat.
“Saya juga menuntut supaya digubal garis panduan hiburan yang lebih ketat dan berasaskan nilai tempatan serta prinsip agama.
“Saya ingin menegaskan bahawa pendirian ini bukan penolakan terhadap pelancongan atau pembangunan ekonomi, tetapi penolakan terhadap model pembangunan yang mengabaikan nilai, jati diri dan keseimbangan sosial.
“Jika perkara seperti ini terus dinormalisasikan, kita bukan sahaja berdepan krisis sosial, tetapi juga krisis identiti sebagai sebuah negara yang menjunjung tinggi nilai Islam sebagai agama Persekutuan,” tegasnya lagi.



























