Murtad: Beberapa kebodohan musuh terhadap PAS

808

PAS tidak pernah memandang ringan berkenaan murtad. Semenjak dahulu sehingga kini, PAS tidak pernah mahu umat Islam murtad. Dan PAS konsisten menentangnya. Tidak pernah direkodkan bahawa PAS bersetuju dengan keluarnya seorang muslim daripada agama Islam ini. Setelah gagal dalam perjuangan membuktikan nombor sokongan dalam Parlimen, kecewa kerana PAS masih mendapat jawatan Exco di Perak, bertahan kukuh di Kelantan, bergerak maju di Terengganu, menampan serangan musuh di Kedah, hati musuh mana yang tidak sakit?

Maka isu yang dikatakan kononnya seorang wanita Islam telah murtad berkahwin dengan seorang Sikh di India, telah dijulang dengan mengaitkan PAS. Kali ini dengan alasan bahawa PAS sudah berada dalam Kerajaan Pusat. Rupanya di mata musuh PAS, PAS kelihatannya begitu berkuasa dalam kerajaan bagi semua perkara, dengan satu petikan jari, PAS dapat lakukan segalanya. Bagaikan tiada halangan. Jika PAS sebegitu berkuasa, saya akan cadangkan pertama-tamanya supaya DAP diharamkan dahulu, agar aman hidup rakyat Malaysia.

PAS dituduh lagi, tidak mampu menghalang murtad itu melalui Duta Khas ke Timur Tengah. Ini adalah kebodohan pertama kerana bukan tugas Duta Khas mengejar orang murtad ke sana ke mari. Keduanya pula, India bukan terletak di Timur Tengah. Geografi pun tak lulus, ada hati nak mengutuk orang. Pasal apa tak marahkan Duta Besar Malaysia di India? Atau minta tolong Ramasamy dan Kulasegaran?

PAS bertindak aktif semenjak dahulu melawan hasrat bukan Islam untuk menukarkan agama orang Islam. Profesor Ahmad Ibrahim adalah peguam PAS yang bertindak sangat bijak dalam kes Natrah di Singapura dahulu dalam cubaan menyelamatkan akidah Natrah. Walaupun tewas, tetapi ia memberikan amaran yang amat menakutkan British supaya tidak bermain dengan api agama. Ini bagi kebodohan kedua pembenci PAS.

Kebodohan ketiga mereka terhadap PAS. Ketika PAS menjadi salah satu komponen BN dalam kerajaan sekitar tahun 1973-1977, PAS telah berjaya menerbitkan buku di bawah Jabatan Perdana Menteri bertajuk Mustika Hadis yang menerangkan berkenaan batas-batas keimanan dan kekufuran. Sehingga kini yang diketahui, buku itu masih digunakan sebagai bahan bacaan dan rujukan. Membuktikan komitmen PAS ketika menjadi pembangkang dan semasa menjadi kerajaan.

Masih ingat lagi kes Tun Salleh Abbas yang memberikan kemenangan kepada seorang remaja Cina yang mahu memeluk Islam, tetapi masih di bawah umur pada 1988? Ya beliau bertindak dengan bijak sekali membawa kes, menyelamatkan akidah Nur Aini yang sebelum itu bernama Suzie Teoh. Isu ini dikatakan sebagai antara alasan beliau dipecat. Tun juga adalah dari PAS, pernah menjadi Exco bagi Kerajaan Negeri Terengganu 1999-2004. Errmmm, sudah empat bodoh kamu sehingga fakta ini.

Bodoh kelima. Tahu tak kes Aisyah Bukhari, Linda Joy dan Hartina Kamaruddin? PAS melalui peguamnya ketika itu, Datuk Zulkifli Noordin telah melibatkan dirinya secara aktif. Beliau dan seluruh pimpinan PAS, melalui ceramah-ceramahnya, mengupas akan isu ini sekaligus memberikan kesedaran kepada umat Islam tentang murtad. PAS kekal relevan sebagai kumpulan yang memperjuangkan Islam di Malaysia. Sedangkan pimpinan-pimpinan parti lain pula mengeluarkan kenyataan berlembut dengan golongan kafir. Atau kamu tidak sedar?

Hasil daripada serangan akidah yang hebat ini, PAS melalui NGO telah menubuhkan Front Bertindak Anti Murtad (FORKAD) sekitar tahun 2004. Ia ditubuhkan ketika negara sedang panas dengan isu lebih suku juta orang Islam telah murtad sebagaimana dakwaan Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria. Isu itu amat menyentuh perasaan PAS, lalu digerakkan pasukan melalui NGO. Sehingga kini NGO ini masih aktif. Tujuh sudah jumlah kebodohan kamu, musuh PAS.

Pasangan wanita yang berkahwin itu mungkin telah murtad. Tetapi mungkin juga belum lagi. Yang setakat tulisan ini ditulis, masih tiada kenyataan rasmi berkenaan penukaran agama mereka yang dikeluarkan. Hanya melalui media sosial, dakwaan murtad. Melalui akhbar pula hanya laporan perkahwinan. Jika melihat kepada perbuatan mereka, dan mereka tahu, maka ia jelas murtad. Tetapi jika tidak tahu, tanpa menukar agama, ia berdosa besar, tidak murtad.

Ingat lagi isu seorang artis wanita yang dikatakan berkahwin dalam gereja di Amerika dahulu? Dia tidak tahu, dan akhirnya dia yang tidak menutup aurat, berhijab selepas dia insaf. Jelas lagi kebodohan kelapan mereka yang tidak tahu hukum. Sila rujuk gambar bagi membandingkan perbuatan sengaja atau tidak oleh beberapa orang ternama sebelum ini. Agaknya mereka tahu atau tidak hukumnya?

Cukuplah dahulu lapan bukti kebodohan mereka yang menuduh PAS tidak bertindak dalam isu murtad selepas berada dalam kerajaan. Jelas dan nyata, samada di dalam atau luar kerajaan, PAS istiqamah menentang murtad, dulu, kini dan insyaAllah selama-lamanya.

Sementara itu, ketika rakyat Malaysia beragama Islam didakwa murtad di India, di Malaysia pula ada kelihatan wanita-wanita bukan Islam yang selama ini yang tidak mesra Islam, menolak tulisan jawi, ayu bertudung. Adakah ini hasil dakwah pimpinan selain dari PAS?

Mohd Nasir Abdullah
20 Disember 2020