Selamat Hari Kebebasan Akhbar Sedunia; Jangan Lupa Kematian Wartawan!

31

Hari Kebebasan Akhbar Sedunia diisambut setiap tahun untuk memperingati ulang tahun Deklarasi Windhoek (Windhoek Declaration), pernyataan prinsip kebebasan pada seminar UNESCO di Windhoek, Namibia, mengingatkan kerajaan untuk menghormati kebebasan akhbar

Hari Kebebasan Akhbar Sedunia meraikan prinsip asas kebebasan akhbar, menilai keadaannya di seluruh dunia, mempertahankan kebebasan media dan memberi penghormatan kepada wartawan yang kehilangan nyawa mereka dalam menjalankan tugas.

Diisytiharkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada tahun 1993, hari ini mengetengahkan peranan penting media dalam demokrasi dan pembangunan.

Namun begitu, isu wartawan Palestin terbunuh bukan lagi kes terpencil, telah menjadi krisis global terhadap kebebasan media.

Dalam konflik di Gaza sejak 2023, angka kematian wartawan meningkat ke tahap yang belum pernah berlaku dalam sejarah moden.

Angka Yang Mengejutkan Dunia

Tahun 2025 mencatat 129 wartawan terbunuh di seluruh dunia, rekod tertinggi sejak data direkodkan.

Daripada jumlah itu, lebih dua pertiga dikaitkan dengan serangan Israel, kebanyakannya wartawan Palestin di Gaza.

Sejak perang bermula, lebih 200 wartawan Palestin telah terbunuh, malah konflik Gaza kini dianggap paling mematikan untuk wartawan dalam sejarah.

Ini bukan sekadar statistik—ia menggambarkan satu fenomena, wartawan kini menjadi mangsa utama, bukan lagi sekadar pemerhati.

Kes-Kes Terkini (2026)

Januari 2026: Tiga wartawan terbunuh dalam satu serangan udara ketika membuat liputan kem kemanusiaan.

April 2026: Wartawan Al Jazeera, Mohammed Washah, terbunuh dalam serangan dron di Gaza

Beberapa wartawan lain turut terbunuh ketika berada di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan media

Dalam banyak kes, organisasi media dan badan antarabangsa menegaskan bahawa mereka sedang menjalankan tugas kewartawanan, bukan terlibat dalam konflik bersenjata.

Mengapa Wartawan Jadi Sasaran?

Beberapa faktor utama sering dibangkitkan berkait wartawan berada di kawasan paling berbahaya (zon konflik aktif).

Tuduhan bahawa sebahagian wartawan mempunyai kaitan dengan kumpulan tertentu terutama rejim Israel yang sering melemparkan adu domba bahawa wartawan ada kaitan dengan Hamas,

Kurangnya akauntabiliti menyebabkan wartawan terus menjadi sasaran dan banyak kes tidak disiasat secara telus

Implikasi Besar Kepada Dunia

Kematian wartawan bukan sekadar kehilangan nyawa—ia memberi kesan besar kepada dunia kerana kehilangan sumber maklumat bebas dari medan perang
Naratif konflik boleh dimanipulasi tanpa saksi wartawan yang bertugas secara bebas menyebabkan kebebasan media global semakin terancam.

Apabila wartawan dibunuh, yang “mati” bukan hanya individu—tetapi juga kebenaran itu sendiri.

Justeru, Tragedi wartawan Palestin terbunuh membuka satu persoalan besar kerana jika wartawan, yang sepatutnya dilindungi oleh undang-undang antarabangsa, tidak lagi selamat, siapa lagi yang akan menyampaikan kebenaran kepada dunia?

Ini bukan sekadar isu Palestin. Ini adalah ujian kepada nilai kemanusiaan dan kebebasan media di peringkat global.