Penubuhan Majlis Presiden Kukuhkan Perikatan Nasional

742

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – Tanggal 17 Disember 2020, semua parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Majlis Presiden yang dianggotai oleh para ketua parti masing-masing.

Mengulas lanjut hal tersebut, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, signifikan penubuhan majlis tersebut adalah sebagai pembuat sebarang keputusan dan secara tidak langsung kerajaan PN akan diperkukuhkan lagi.

“InsyaAllah, apa-apa keputusan melalui Majlis Presiden. Segala dilakukan demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media, sebaik selesai majlis Sumbangan Musim Tengkujuh untuk Nelayan di Dewan Tok Guru, Rusila, di sini, semalam.

Menurutnya, dengan tertubuhnya majlis tersebut juga sebagai persediaan awal Pilihanraya Umum (PRU) ke-15 dalam mengukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan.

“Dengan penubuhan Majlis Presiden PN ini juga adalah untuk mengendalikan kerajaan PN di ambang menghadapi Pilihanraya,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai komitmen PAS sama ada kepada PN atau MN, beliau menjawab komitmen PAS kepada kedua-duanya, kerana semuanya ibarat dalam satu keluarga.