Menjangkau 33 tahun, Setiu bukan lagi ‘anak bongsu’

826

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2011/04/bgnnpassetiu.jpgHari ini 29 April 2011, untuk kali yang ke 33, PAS Kawasan Setiu akan mengadakan mesyuarat agong  sebagai menunaikan tanggungjawab tahunan sebuah parti politik yang sah berdaftar mengikut undang-undang negara dan yang lebih penting bagi melaksanakan amanah sebagai ahli sebuah gerakan Islam yang berjuang bagi meninggikan kalimah Allah. Sungguh! apabila kita dipilih oleh Allah sebagai pendokong perjuangan Islam ini, ia benar-benar suatu tuah anugerah Allah.

Setiu, kawasan bongsu dari segi usia. Dari PRU pertama 1959 hingga PRU ke 6 1982, Setiu masih dikenali sebagai DUN Setiu, PRU ke 7 1986 barulah Setiu wujud sebagai parlimen.

[Gambar – Kompleks Tarbiyah Lukman al-Hakim berharga RM1.3 juta di Guntong, Setiu, apabila siap kelak akan menjadi puast pentadbiran PAS Kawasan Setiu. Sumbangan orang ramai amat dihargai]

Walaupun Setiu tampil sebagai kawasan parlimen bongsu di negeri Terengganu, tetapi ianya bukan suatu alasan untuk kita berlagak sebagai anak bongsu yang manja, apatah lagi usia kita telah menjangkau 33 tahun, suatu usia yang sudah cukup matang dalam kehidupan seorang insan. Dalam usia sebegini, banyak garam kehidupan yang telah dikecapi kemasinannya, kita telah melalui pengalaman pahit maung, jatuh bangun, suka duka, kemenangan dan kekalahan. Semua ini memantangkan kita.  Lantas kita perlu tampil kehadapan dengan penuh keyakinan dan kemulian, bukan kerana diri kita, tetapi kerana perjuangan Islam yang didokongi.

Tanpa kita melupakan sahabat seperjuangan yang telah mendahului kita mengadap Allah. Allahyarham Haji Lokman Abdul Kadir, YDP PAS Setiu yang pertama, Allahyarham YB Haji Mohamad Hitam, Bekas ADUN Langkap yang meninggal dunia ketika masih berkhidmat sebagai ADUN, Allahyarham Ustaz Rozali Ahmad, bekas bendahari PAS Setiu, Allahyarhamah Hajah Hamidah Daud, bekas ketua Dewan Muslimat PAS Setiu. Mereka semua telah mendahului kita dan kita yang masih tinggal meneruskan perjuangan ini sebelum kita juga akan dipanggil mengadap Tuhan Maha Pencipta. Pastinya tidak ada amal bakti yang lebih besar  untuk kita bawa sebagai bekalan mengadap Allah lebih daripada bakti kita kepada perjuangan Islam.

Kita perlu bertekad untuk menjadikan Mesyuarat Agong ini sebagai titik perubahan (turning point). Kalau bukan di sini dan saat ini, di mana lagi? Mempertahankan kelesuan ciptaan sendiri tak akan banyak membantu kita dan orang lain tak akan mampu merangka suatu agenda perubahan bagi kita kalau bukan kita sendiri yang mengorak langkah.  Kekalahan yang sebenar bukanlah kerana kita jatuh, tetapi apabila kita tidak mampu untuk bangun kembali setelah jatuh. Marilah kita bangkit sebagai seorang pejuang. Kekurangan masa lalu adalah pengalaman dan pelajaran. Kita perlu melihat hari depan dengan penuh harapan. Kata Mujahid Islam, As Syahid Syed Qutb. “Hari esok untuk Islam.”

Setiap perkara dalam kehidupan ini telah ditentukan kaedahnya oleh Allah. Untuk meraih kejayaan dan kemenangan juga telah ditentukan pra syarat oleh Allah. Mematuhi pra syarat bermakna kita layak untuk diberi anugerah kemenangan, tanpa mematuhi pra syarat natijahnya pasti sebaliknya. Kata-kata Amirul Mukminin Khalifah Umar ketika menghantar tentera pergi berjuang perlu menjadi renungan. “Aku lebih takutkan dosa dan maksiat kamu kepada Allah, lebih dari takutkan kekuatan yang dimiliki musuh kamu…”

Para perwakilan perlu menjadikan ruang mesyuarat agong sebagai medan muhasabah terbaik. Ada kekurangan yang perlu ditampung, ada yang tiada perlu diadakan, ada yang terlebih perlu dikurangkan, ada yang baik perlu diteruskan. Perjuangan ini adalah milik kita bersama. Pemimpin yang melangkah ke hadapan, perlu sekali sekala menoleh ke belakang. Jangan terlalu laju sehinggan pengikut ketinggalan jauh dan jangan terlalu perlahan sehingga terpijak kaki… AllahuAkbar

Dr Azman Ibrahim