Jerebu Di Terengganu: Pasti, Sekolah Dar Diminta Tingkat Langkah Pencegahan

4
Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi

KUALA TERENGGANU – Institusi pendidikan di bawah PAS Negeri Terengganu, khususnya Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan sekolah-sekolah Darul Quran (DAR), diminta meningkatkan langkah pencegahan susulan keadaan kualiti udara yang semakin merosot di beberapa daerah di negeri ini.

Ketua Lajnah Kesihatan PAS Negeri Terengganu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi, berkata keadaan itu perlu diberi perhatian serius bagi mengurangkan pendedahan murid, guru dan kakitangan kepada jerebu, terutama di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini Jabatan Alam Sekitar (JAS), Besut mencatatkan bacaan IPU 73 yang dikategorikan sebagai sederhana, manakala Kuala Terengganu dan Kuala Nerus masing-masing mencatatkan 152.

Manakala katanya, Marang pula merekodkan bacaan 152, Dungun 147 dan Kemaman 153, dengan lima kawasan berkenaan berada dalam kategori tidak sihat.

“Kami menyeru semua institusi pendidikan di bawah PAS Negeri Terengganu, khususnya PASTI dan sekolah-sekolah DAR, supaya meningkatkan langkah pencegahan bagi mengurangkan pendedahan murid, guru dan kakitangan kepada jerebu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, antara langkah yang perlu diberi perhatian ialah mengurangkan atau menangguhkan aktiviti luar seperti sukan, pendidikan jasmani, perhimpunan dan aktiviti kokurikulum, khususnya di kawasan yang merekodkan IPU tidak sihat.

Katanya, aktiviti pembelajaran juga wajar diutamakan di dalam bangunan bagi mengurangkan tempoh murid terdedah kepada udara tercemar.

“Kanak-kanak merupakan antara kelompok yang perlu diberikan perhatian ketika episod jerebu. Justeru, pendekatan kita mestilah bersifat mencegah sebelum memudaratkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pihak sekolah supaya memberi perhatian khusus kepada murid yang mempunyai asma, alahan atau masalah pernafasan.

Katanya, murid yang menunjukkan gejala seperti batuk, sesak nafas, sakit tekak atau iritasi mata juga perlu dipantau dengan lebih dekat.

Ibu bapa, katanya, perlu memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya anak mereka mempunyai masalah kesihatan berkaitan pernafasan dan memastikan ubat yang telah dipreskripsikan tersedia sekiranya diperlukan.

Pada masa sama, tambah beliau, murid perlu digalakkan minum air secukupnya dan sentiasa mempunyai akses kepada bekalan air minuman sepanjang berada di sekolah.

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin turut meminta pihak pengurusan PASTI dan sekolah DAR memantau bacaan IPU semasa menerusi sumber rasmi JAS dan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Menurutnya, aktiviti pendidikan perlu disesuaikan dengan perkembangan kualiti udara di kawasan masing-masing.

“Sekiranya keadaan bertambah buruk, pihak pengurusan institusi hendaklah bersedia mengambil langkah tambahan berdasarkan arahan dan nasihat semasa pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Beliau turut menyeru ibu bapa supaya sentiasa memantau keadaan kesihatan anak-anak ketika episod jerebu.

Katanya, pemeriksaan dan rawatan perlu diperoleh dengan segera sekiranya anak mengalami kesukaran bernafas, serangan asma, sakit dada atau gejala yang semakin teruk.

Lajnah Kesihatan PAS Negeri Terengganu, katanya, akan terus mengikuti perkembangan kualiti udara dari semasa ke semasa.

“Semua pengurusan PASTI dan sekolah DAR di seluruh Terengganu diminta memberikan perhatian serius terhadap perkembangan IPU di kawasan masing-masing serta mengutamakan keselamatan dan kesihatan anak-anak,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan anak-anak merupakan amanah bersama yang perlu diberikan keutamaan, khususnya ketika keadaan kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.