PAS Terengganu mengambil maklum cadangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya PRN diadakan di Terengganu bagi menguji keikhlasan PAS dalam usaha membina kerjasama politik.
Yang menjadi persoalan, mengapa apabila sampai di Terengganu, formulanya seakan berubah? Di negeri lain, UMNO tegas mempertahankan kerusi yang dimenangi dan PAS menghormatinya.
Tetapi PAS seakan tidak dibenar mempertahankan kerusi yang dimenangi di Terengganu, ia pula mahu dikaitkan dengan soal keikhlasan.
Di Johor, UMNO bertegas mempertahankan kerusi yang mereka menangi. PAS akur dengan pendirian tersebut. Bahkan, di kawasan yang PAS tidak bertanding, ahli dan penyokong PAS digerakkan untuk mengundi calon BN.
Begitu juga di Negeri Sembilan. UMNO kekal mempertahankan kerusi yang dimenangi, dan PAS tidak pernah menjadikan penyerahan kerusi tersebut sebagai syarat untuk membuktikan keikhlasan terhadap penyatuan ummah.
Sebab itu, apabila muncul cadangan supaya PRN Terengganu diadakan bagi menguji keikhlasan PAS, timbul persoalan tentang ukuran yang digunakan.
Kerusi yang UMNO menang, PAS hormati. Kerusi yang PAS menang, sewajarnya dihormati dengan prinsip yang sama.
Tidak wajar jika mempertahankan kerusi kemenangan dianggap hak parti apabila dilakukan UMNO, tetapi jika pendirian yang sama diambil PAS di Terengganu, ia dikaitkan pula dengan soal keikhlasan.
PAS sejak awal memilih untuk melihat agenda yang lebih besar, iaitu membuka ruang kepada penyatuan ummah tanpa menafikan kekuatan dan kedudukan masing-masing.
Kalau PRN Terengganu mahu dijadikan ukuran keikhlasan, maka ukuran yang sama sewajarnya terpakai kepada semua.
Bagaimana dengan Pahang? Perlukah DUN Pahang juga dibubarkan untuk menguji keikhlasan?
Bagaimana pula dengan Perak? Perlukah dibuat perkara yang sama?
Jika jawatan dan kedudukan dalam kerajaan pula mahu dijadikan ukuran, adakah Datuk Seri Mohamad Hasan bersedia melepaskan jawatan dalam kerajaan yang turut disertai PH?
Adakah UMNO juga bersedia keluar daripada Kerajaan Madani yang turut disertai DAP sebagai bukti keseriusan menolak PH, jika itu mahu dijadikan ukuran keikhlasan?
Kita sebenarnya tidak mahu politik dibawa sampai ke tahap begitu.
Tetapi kalau PAS mahu diuji dengan satu ukuran, jangan pelik jika ukuran yang sama ditanya kembali kepada UMNO.
Lihat sahaja pemilihan Senator di Perak baru-baru ini. Calon PKR mendapat 33 undi, manakala calon PAS mendapat 26 undi.
PAS boleh sahaja menjadikan perkara itu alasan untuk mempersoalkan keikhlasan pihak lain, tetapi PAS tidak memilih jalan tersebut.
Usaha mencari titik temu tetap diteruskan kerana agenda penyatuan ummah jauh lebih besar daripada satu keputusan politik.
Kalau benar mahu mencari jalan untuk bersama, jangan cipta formula yang berubah-ubah mengikut negeri dan mengikut siapa yang memegang kerusi.
Formula mesti sama. Prinsip mesti sama.
Usah susahkan jalan penyatuan. Ayuh cari kesepakatan.
USTAZ MOHD HARUN BIN ESA
KETUA PENERANGAN PAS TERENGGANU
14 September 2026 | 2 Rabiulakhir 1448H





























