Kerajaan Perlu Labur Perkasa Pelancongan Sejarah Islam Terengganu

9
Dr. Haji Wan Mat Sulaiman

KUALA TERENGGANU – Kerajaan perlu melabur dalam penyediaan pakej menarik dan promosi lebih agresif bagi memperkasakan pelancongan berasaskan sejarah Islam di Terengganu agar mampu menjadi produk yang diminati pelancong.

Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, pemain industri pelancongan pada masa ini lebih cenderung memberi tumpuan kepada produk yang diyakini mampu menarik kehadiran ramai pelancong serta menjana keuntungan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan produk pelancongan berasaskan sejarah, termasuk khazanah perjuangan tokoh-tokoh Islam di Terengganu, masih belum dimanfaatkan sepenuhnya sebagai produk pelancongan utama.

“Bila kita sebut industri pelancongan, maka ia akan dikaitkan dengan keuntungan dan pulangan kepada sektor tersebut.

“Justeru, para pemain industri sudah tentu akan memilih sektor atau produk yang boleh menarik pelancong dan memberi keuntungan yang lebih,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Terengganu mempunyai khazanah sejarah Islam yang kaya, termasuk Batu Bersurat Terengganu dan sejarah tokoh-tokoh ulama serta pejuang seperti Tok Ku Paloh, Tok Sheikh Duyong dan Haji Abdul Rahman Limbong.

Bagaimanapun, beliau melihat produk pelancongan berasaskan sejarah dan warisan masih belum menjadi pilihan utama berbanding penganjuran acara serta produk lain yang telah terbukti mendapat sambutan ramai.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan melalui sektor pelancongan perlu memainkan peranan lebih aktif dengan menyediakan pakej yang menarik, mempergiatkan promosi dan melibatkan pemain industri bagi menjadikan produk berkenaan lebih berdaya saing.

“Kerajaan melalui pelancongan perlu melabur sama ada dalam menyediakan produk dalam bentuk pakej yang menarik, promosi dan melibatkan pemain-pemain industri pelancongan untuk menjadikan produk ini diminati,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar pihak muzium memainkan peranan dalam menjadikan khazanah sejarah tersebut sebagai antara tarikan utama pengunjung, termasuk memperkenalkan sejarah perjuangan tokoh-tokoh Islam di lokasi berkaitan.