PAS Besut Sembelih 31 Ekor Lembu Korban

42

KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Besut akan melaksanakan ibadah korban melibatkan sebanyak 31 ekor lembu di beberapa lokasi sekitar daerah itu sepanjang sambutan Aidiladha tahun ini.

Setiausaha PAS Kawasan Besut, Cikgu Shalahuddin Jaafar berkata, program korban tahun ini diteruskan seperti tahun-tahun sebelum ini dengan penglibatan pelbagai DUN dan komuniti setempat.

Menurut beliau, sebanyak lapan ekor lembu akan disembelih di DUN Jertih pada hari raya pertama Aidiladha.

“Pada hari raya kedua pula, PKM Kota Putera akan melaksanakan ibadah korban melibatkan lima ekor lembu di sekitar DUN Kota Putera.

“Manakala pada hari raya ketiga, PAS Kawasan Besut sendiri akan turun bersama masyarakat di Pulau Perhentian untuk menyembelih dua ekor lembu korban,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, DUN Kuala Besut pula dijadual menyembelih sebanyak 13 ekor lembu pada hari raya keempat, selain tiga ekor lagi melibatkan kawasan Hulu Besut.

“Program di Pulau Perhentian bukan sekadar ibadah korban, tetapi simbol kebersamaan PAS bersama rakyat termasuk komuniti yang berada jauh dari tanah besar,” ujarnya.

Selain itu, katanya, program korban itu juga menjadi medium mengeratkan hubungan masyarakat, memperkukuhkan semangat gotong-royong dan menyemarakkan penghayatan ibadah Aidiladha dalam kalangan rakyat.