KUALA TERENGGANU – Respons Menteri Besar (MB) Perak, Dato’ Seri Haji Saarani Mohamad mengenai pendedahan pencemaran Sungai Bidor akibat pelepasan sisa buangan cecair (Efluen) dari ladang babi berdekatan.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, bahkan jawapan MB Perak itu gagal menjelaskan kedudukan sebenar berhubung perkara tersebut.
“Adakah ianya prosedur yang dibenarkan oleh Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1992?
“Menteri Besar Perak gagal menjawab adakah ladang itu berlesen dan kedudukan 140 meter dari penempatan terdekat majoriti melayu islam diluluskan oleh Kerajaan Negeri?” soal Ahli Parlimen Bagan Serai itu dalam satu kenyataan media.
Sebaliknya, Saarani juga menyindir dengan berkata, ladang terbabit diluar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
“Saya nak tanya Menteri Besar adakah dia Menteri Besar untuk Dun Ayer Kuning sahaja?
“Sekiranya pencemaran ini berlaku diluar Dun Ayer Kuning adakah tidak mengapa?,” soal beliau lagi.
Oleh itu, kata Ustaz Idris, untuk makluman Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak itu, beliau menyertakan gambar aliran sungai Bidor.
“saya sertakan gambar aliran Sungai Bidor. Lokasi kejadian adalah di sempadan DUN Ayer Kuning, mengalir masuk ke dalam Kawasan pilihan raya kecil N48 dan menjadi sumber air kedua serta rekreasi majoriti penduduk,
“Saya agak malu dengan jawapan yang diberikan oleh Menteri Besar Perak ini kerana ia membuktikan bahawa dia gagal memahami masalah yang dihadapi oleh Rakyat Ayer Kuning.” jelas beliau