BESUT – Seramai 420 jentera PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut menerima watikah pelantikan bagi menyemarakkan lagi semangat untuk gerak pilihan raya yang akan datang.
Setiausaha PAS Kawasan Besut, Cikgu Solahuddin Jaafar berkata, ia sebagai simbol pengukuhan jentera parti di peringkat akar umbi.
“Kesemua 420 jentera yang dilantik merangkumi Ahli Jawatankuasa MTD dan wakil daripada Dewan-Dewan utama parti iaitu Muslimat, Pemuda, Ulama dan Ameerah.
“Selain itu, sebanyak 11 Unit Daerah Mengundi (UDM) turut berjaya melengkapkan pelantikan jawatankuasa masing-masing dengan keanggotaan seramai 25 orang bagi setiap UDM,” katanya.
Menurut beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Hulu Besut berkata demikian ketika dihubungi, semalam.
Solahuddin menegaskan bahawa langkah ini merupakan sebahagian daripada persiapan awal dalam menghadapi PRU16 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
“MTD Hulu Besut kini giat memperkemaskan jentera dan bersedia menerima arahan daripada PAS Kawasan serta PAS Negeri Terengganu bagi memastikan kemenangan dapat dipertahankan di DUN Hulu Besut dan Parlimen Besut,” ujarnya.
Majlis tersebut mencerminkan keseriusan PAS dalam memperkukuh organisasi dan memastikan jentera pilihan raya berada pada tahap kesiapsiagaan optimum menjelang PRU akan datang.



























