Ringkasan Fiqh Jihad

158

Bagi sesiapa yang tidak bertafaqquh dalam ilmu Islam dan mereka yang terlambat mengkaji berkenaan Fiqh Jihad, malah lebih khusus lagi kalangan mereka yang jahil terhadap agama sendiri, malang sekali bagi golongan yang jahil murakkab.

Semua pihak wajib bertafaqquh dalam ajaran Islam bagi memahami dan melaksanakannya dengan betul agar tidak dapat dipesongkan oleh musuh dan juga ditipu oleh syaitan.

Firman Allah SWT:

۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢

“Dan tidaklah sepatutnya orang-orang yang beriman itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa tidak pergi sebahagian daripada mereka (yang tinggal) untuk bertafaqquh (memperdalam pengetahuan dan kefahaman mereka tentang agama), dan untuk memberikan peringatan kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila mereka telah kembali kepadanya; supaya mereka dapat menjaga dirinya (daripada melakukan larangan Allah dengan petunjuk-Nya).” [Surah al-Tawbah: 122]

Ayat di atas menunjukkan betapa penting mendalami ilmu agama Islam, sehingga mewajibkan seseorang itu mempunyai kefahaman yang betul, bukan sekadar mengetahui sesuatu perkara itu secara umum. Hal ini disebabkan ilmu tanpa kefahaman yang benar akan membawa kepada berlaku salah faham sehingga beramal dengan cara yang tidak betul apabila ia dilaksanakan tanpa menepati rukun-rukun, syarat-syarat berserta adabnya. Dalam pada itu, juga diwajibkan berwaspada terhadap ajaran yang salah dan sesat yang mencabar Islam.

Maka, setiap cabang ilmu Islam mempunyai fiqh tersendiri. Bermula daripada Fiqh Aqidah, Fiqh Syariat dan Fiqh Akhlak sehinggalah Fiqh Dakwah, Fiqh Jihad dan juga Fiqh Siasah (siasah syar‘iyyah).

Dari aspek amalan mengikut konsep syariat terdapat pembahagian kategori Fiqh Ibadat, Fiqh Munakahat, Fiqh Muamalat dan Fiqh Jinayat (Fiqh Jenayah). Adapun dari aspek Fiqh Ibadat secara khusus terdapat Fiqh Solat, Fiqh Puasa, Fiqh Haji, Fiqh Zakat dan lain-lain aspek ibadat.

Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang sudah bersolat, tetapi melaksanakannya dengan cara yang salah kerana tiada fiqhnya, bahkan Baginda juga pernah menegur kalangan mereka yang berdakwah dan berjihad tanpa ada fiqhnya.

Para ulama’ menghuraikan konsep Fiqh Jihad dengan huraian yang panjang dalam kitab-kitab tafsir dan kitab syarah hadis, begitu juga melalui bab-bab yang khusus dalam kitab-kitab fiqh. Malah, terdapat kitab-kitab yang khusus secara berasingan bertajuk Fiqh Jihad juga. Bermula daripada menghuraikan makna jihad dan hukumnya sehinggalah dijelaskan segala rukun, syarat dan adabnya.

Dari segi bahasa Arab, perkataan jihad berasal daripada dua kalimah iaitu al-juhdu yang bermaksud kemampuan atau kelapangan, dan juga al-jahdu yang bermaksud kesulitan atau kepayahan. Maka, dalam Islam meliputi segala aspek menyampaikan, beramal dan menegakkan ketinggian Islam dalam diri, keluarga, masyarakat sehingga berkuasa memerintah negara mengatasi segala agama dan ideologi yang lain. Semua agama dan fahaman yang lain wajib berada di bawah kuasa agama Islam. Firman Allah SWT:

يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔوا نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَٰرَةٖ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٖ ١٠ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١١

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membencinya. [8] Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama, meskipun orang Musyrik membenci. [9] Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? [10] (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Demikian itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. [11]” [Surah al-Saff: 8-11]

Firman Allah SWT:

ٱنفِرُواْ خِفَافٗا وَثِقَالٗا وَجَٰهِدُواْ بِأَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٤١

“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan kamu merasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.” [Surah al-Tawbah: 41]

Jihad termasuk dalam perkara wajib yang menjadi syiar besar dalam agama Islam, sabda Rasulullah SAW:

رَأْسُ الْأَمْرِ فَالْإِسْلَامُ، وَأَمَّا عَمُودُهُ فَالصَّلَاةُ، ‌وَأَمَّا ‌ذِرْوَةُ ‌سَنَامِهِ ‌فَالْجِهَادُ.

“Kepala semua urusan ialah Islam, adapun tiangnya solat manakala puncak kemegahannya (syiar) ialah jihad.” [Riwayat al-Hakim; al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Kitab al-Jihad, No. 2408, daripada Mu‘az bin Jabal. Sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim]

Jihad itu diwajibkan dengan nas al-Quran, hadis dan ijmak para ulama’, bukan hukum yang ditetapkan secara ijtihad yang mempertimbangkan antara akal dengan maslahat ketetapan Allah. Ia tidak termasuk sebahagian daripada maqasid al-syari‘ah (tujuan hukum syariat) yang dibolehkan berijtihad kerana tujuan jihad itu telah ditetapkan oleh Allah dan wajib dilaksanakan hingga Hari Kiamat.

Berlaku perbincangan yang panjang lebar mengenai konsep jihad dalam aspek politik memerintah negara, terutamanya apabila menghadapi musuh yang menentang atau cuba menjatuhkan Islam, umat, negara dan tanah airnya.

Hal ini dinyatakan secara nas al-Quran, sunnah Rasulullah dan ijmak para ulama’ sejak zaman sahabat hingga kini. Keutamaannya adalah mendahulukan nas al-Quran dan Sunnah yang tidak boleh diadakan muzakarah dan berijtihad padanya.

Dalam perkara wajib dinamakan dua fardu, iaitu fardu ain (wajib ke atas setiap individu) dan fardu kifayah (wajib ke atas kumpulan yang memerlukan sesiapa dalam kalangan mereka agar menunaikannya). Bahkan, ada juga pembahagian wajib mudayyaq (yang tidak boleh ditangguhkan) dan ada wajib muwassa‘ (yang boleh ditangguhkan).

Manakala dalam aspek jihad pula, para ulama’ menyatakan ada keadaannya jihad menjadi fardu kifayah dan ada keadaannya jihad itu menjadi fardu ain. Suatu perkara fardu kifayah juga boleh berubah menjadi fardu ain kepada sesiapa yang ditugaskan ke atasnya untuk melaksanakan kewajipan jihad. Hal ini disebabkan Rasulullah SAW bersabda:

‌وَإِذَا ‌اسْتُنْفِرْتُمْ ‌فَانْفِرُوا.

“Dan apabila kamu dikerah berjihad, maka tunaikanlah dengan keluar melaksanakannya.” [Muttafaq ‘Alayh: Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jihad wa al-Siyar, No. 2783, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, No. 1353, daripada Ibn ‘Abbas]

Jihad pada asalnya adalah fardu kifayah, apabila Islam berada dalam keadaan kuat berkuasa. Adapun apabila Islam dan umatnya dalam keadaan bahaya dan lemah, tanah airnya diceroboh atau dijajah, maka hukumnya fardu ain ke atas tiap-tiap orang penganut Islam mengikut kemampuan masing-masing. Begitu juga menjadi fardu ain kepada sesiapa yang diarahkan melaksanakan fardu kifayah.

Adapun pelaksanaannya di lapangan yang luas mestilah memenuhi makna dan maksudnya untuk menegakkan Islam, meninggikannya dan juga mempertahankannya.

Pendekatan damai didahulukan kerana firman Allah SWT:

۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. [61] Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. [62]” [Surah al-Anfal: 61-62]

Firman Allah SWT:

وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّـٰبِرِينَ ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ ١٢٧ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ ١٢٨

“Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. [126] Bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan. [127] Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan. [128]” [Surah al-Nahl: 126-128]

Termasuk jihad damai sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

‌أَفْضَلُ ‌الْجِهَادِ ‌كَلِمَةُ ‌عَدْلٍ ‌عندَ ‌سلْطَانٍ ‌جائِرٍ.

“Jihad paling afdal ialah ucapan menasihati kerajaan yang zalim (supaya berlaku adil).” [Riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, No. 4344, al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-Fitan, No. 2174 dan lain-lain perawi daripada Abu Sa‘id al-Khudri]

Jihad diwajibkan sehingga ke peringkat berperang mengangkat senjata bunuh membunuh. Firman Allah SWT:

كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡقِتَالُ وَهُوَ كُرۡهٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔا وَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔا وَهُوَ شَرّٞ لَّكُمۡۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ٢١٦

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu ialah sesuatu yang kamu benci. Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 216]

Firman Allah SWT:

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ ٣٩

“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu.” [Surah al-Hajj: 39]

Rasulullah SAW menjadi teladan dalam melaksanakan perintah Allah daripada al-Quran dalam semua pendekatan jihad secara damai sehinggalah berperang. Perkara ini dapat dikaji melalui sebab nuzul ayat-ayat dan kebijaksanaan Sunnah melalui amalan dan sabdanya. Apabila berperang, tidak boleh bersikap melampau dan apabila berdamai, tidak boleh mengkhianati perdamaian. Firman Allah SWT:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]

Berperang secara tidak melampau sehingga kini diamalkan dalam peperangan yang berlaku di Gaza. Di mana para mujahidin Islam tidak melampau dan perkara ini diakui sendiri oleh tentera Israel yang menjadi tawanan, sama sekali berbeza dengan tentera Israel yang bertindak melampau ke atas orang-orang Islam. Ramai dalam kalangan masyarakat antarabangsa bukan Islam bersimpati terhadap Gaza.

Dalam perdamaian, Rasulullah SAW menerima kaum bukan Islam daripada kalangan Ahli Kitab Yahudi, Nasrani (Kristian) dan Musyrikin menyertai masyarakat majmuk dalam negara Islam. Perdamaian dibatalkan dan bertukar kepada peperangan, apabila pihak bukan Islam mengkhianati perdamaian. Hal ini berpandukan firman Allah SWT:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya, Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. [8] Sesungguhnya, Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. [9]” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]

Pengkhianatan berlaku apabila mereka bergabung dengan kumpulan Ahzab, bersama kalangan munafiqin di Madinah dan mempengaruhi mereka yang lemah imannya.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menjadikan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai petunjuk dalam perjalanan politiknya bagi menunaikan kewajipan politik yang menjadi penaung dan payung memelihara Islam dan para penganutnya.

Dalam politik menegakkan negara, PAS memilih pendekatan secara damai melalui penyertaan dalam demokrasi pilihan raya walaupun terdapat kelemahan dalam sistem demokrasi Barat yang diamalkan.

Betapa pentingnya politik Rasulullah SAW dalam berjihad sehingga Baginda menegakkan sebuah negara di Madinah dan menolak tawaran harta kekayaan dan kuasa politik yang tiada kuasa kepada Islam. Baginda meletakkan asas pentingnya politik bagi membolehkan Islam berkuasa penuh memimpin masyarakat majmuk dengan menyatukan umat Islam yang disertai oleh kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem. Namun, menolak kelompok yang menentang Islam berpandukan perintah Allah yang telah disebutkan di atas.

Betapa pentingnya kuasa politik kerana ia akan memayungi seluruh ajaran Islam mengikut firman Allah SWT:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡـًٔاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia sungguh-sungguh akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Nur: 55]

Imam al-Ghazali RH menegaskan:

‌الدِّينُ ‌أُسٌّ، ‌وَالسُّلْطَانُ ‌حَارِسٌ، وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Agama (Islam) itu asas dan kuasa pemerintahan (politik berdaulat) itu pengawalnya. Apa yang tiada asasnya, maka akan runtuh binasa. Apa yang tiada pengawalnya, maka akan hilang.” [Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, Hlm. 128]

Kita sedang menyaksikan hukum Islam dihilangkan satu demi satu. Islam mendapat kuasa politik yang memberi keamanan kepada ajaran Islam termasuk pelaksanaan ibadat haji dan umrah yang menjadi salah satu daripada syaratnya ialah wujud keamanan. Rasulullah SAW bersabda kepada ‘Adi bin Hatim RA:

فَإِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ، لَتَرَيَنَّ الظَّعِينَةَ تَرْتَحِلُ مِنَ الحِيرَةِ، حَتَّى تَطُوفَ بِالكَعْبَةِ لَا تَخَافُ أَحَدًا إِلَّا اللَّهَ.

“Jika kamu panjang umur, akan tiba masanya kamu akan melihat wanita yang menaiki untanya berjalan dari Hirah (sebuah kawasan di Iraq) sehingga sampai di Kaabah (Makkah) melakukan tawaf (menunaikan haji). Dia tidak takut sesuatu pun melainkan Allah (merasa aman dalam perjalanan itu)‏.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, No. 3595, daripada ‘Adi bin Hatim]

Rasulullah SAW menerima Perjanjian Damai Hudaibiyyah yang memberikan kemenangan politik kepada umat Islam kerana mendahulukan perdamaian dan juga kemenangan politik walaupun terpaksa menangguhkan pelaksanaan ibadat umrah.

Kejayaan politik perdamaian Hudaibiyyah yang menangguhkan umrah menjadi kejayaan, apabila tidak lama selepas itu berjaya dibebaskan Makkah (Fathu Makkah) yang menjadi kiblat umat Islam dan tempat pelaksanaan ibadat haji.

Begitu juga menangguhkan ibadat haji yang wajib menjadi rukun Islam selepas berjaya Fathu Makkah (membebaskan Makkah daripada pemerintah jahiliah). Kejayaan politik Fathu Makkah berjaya memerintah seluruh Semenanjung Tanah Arab dan selepasnya menjatuhkan dua kuasa besar dunia, Parsi dan Rom.

PAS bertahaluf dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam isu yang tidak menyentuh rukun dan dasar perjuangan Islam. PAS memutuskan tahaluf dengan DAP apabila melahirkan wujud tanda-tanda yang nyata mereka menentang dasar dan matlamat PAS dalam menegakkan politik Islam berkuasa dan melaksanakan syariat. Bahkan, PAS juga memutuskan hubungan dengan parti yang bersamanya dan juga ahli PAS yang keluar menubuhkan sebuah parti baharu bersamanya.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ ١١٨ هَـٰٓأَنتُمۡ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ ١١٩

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang di luar kalangan kamu menjadi teman kepercayaan kamu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan bagi kamu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh, telah Kami terangkan kepada kamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya. [118] Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menjumpai kamu, mereka berkata, ‘Kami beriman,’ dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari lantaran marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka), ‘Matilah kamu kerana kemarahan kamu itu!’ Sesungguhnya, Allah mengetahui segala isi hati. [119]” [Surah Ali ‘Imran: 118-119]

Menyertai pilihan raya secara damai juga wajib kerana mendapat kuasa politik Islam yang menaungi semua ajaran Islam termasuk haji dan umrah. Haji dan umrah yang pertama juga wajib dan menjadi rukun Islam.

Apabila pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya kecil (PRK) segera diadakan, maka hukumnya menjadi wajib mudayyaq yang didahulukan. Adapun haji dan umrah yang wajib, apatah lagi yang sunat wajib bagi peribadi sahaja dan boleh ditangguhkan, maka wajib didahulukan pilihan raya yang segera dan menangguhkan pelaksanaan haji dan umrah.

Pilihan Raya Kecil Ayer Kuning segera diadakan, PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN) melawan Parti UMDAP (UMNO bersama DAP) dan rakan-rakannya berpandukan amalan Rasulullah SAW iaitu mendahulukan politik yang memayungi semua ajaran Islam.

Awas terhadap musuh Islam dan mereka yang bersekongkol dengannya, kerana ilmunya salah atau jahil murakkab. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولًا ٣٦

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawaban.” [Surah al-Isra’: 36]

Begitu juga kalangan mereka yang menyembunyikan ilmu, firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّـٰهُ لِلنَّاسِ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أُوْلَـٰٓئِكَ يَلۡعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُهُمُ ٱللَّـٰعِنُونَ ١٥٩ إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ وَأَصۡلَحُواْ وَبَيَّنُواْ فَأُوْلَـٰٓئِكَ أَتُوبُ عَلَيۡهِمۡ وَأَنَا ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ١٦٠

“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati. [159] Kecuali mereka yang telah bertaubat dan mengadakan perbaikan (amal) dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Aku Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang. [160]” [Surah al-Baqarah: 159-160]

Ada ulama’ yang menjadi penjilat harta dan juga pangkat, firman Allah SWT:

وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّالِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا ۚفَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ ١٧٧

“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berinya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. [175] Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah. Maka, perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya, ia menghulurkannya lidahnya, dan jika kamu membiarkannya, ia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. [176] Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. [177]” [Surah al-A‘raf: 175–177]

Akhirnya, kemukakan hujah kamu berdalilkan petunjuk al-Quran, hadis dan ijmak, jangan sekali-kali kamu menggunakan akal sahaja tanpa petunjuk.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 23 April 2025 / 24 Syawwal 1446

[Bil: 28 / 2025]