Festival ‘Rain Rave’ Didakwa Bertentangan Nilai Agama dan Budaya

31

KUALA TERENGGANU – Penganjuran Festival Rain Rave 2026 yang menggabungkan elemen air, muzik dan hiburan moden secara terbuka mencetuskan bantahan apabila didakwa tidak selari dengan nilai agama dan budaya masyarakat.

Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, isu utama adalah bentuk hiburan terbuka yang dilihat bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Menurut beliau, program seumpama itu berpotensi memberi kesan negatif terhadap pembentukan akhlak, khususnya dalam kalangan remaja, serta boleh menggalakkan budaya tidak sihat dalam masyarakat.

“Penganjuran secara terbuka ini tidak mengambil kira sensitiviti agama dan boleh mendorong kepada perilaku tidak bermoral, sekali gus menjejaskan gaya hidup sejahtera,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau turut menyatakan bahawa penganjuran festival tersebut tidak selari dengan pendekatan berjimat cermat, apatah lagi apabila terdapat program lain yang lebih memberi manfaat kepada rakyat terpaksa dikurangkan.

“Perbelanjaan bagi program ini dilihat tidak memberi manfaat kepada majoriti rakyat serta tidak membantu dalam pembinaan nilai hidup murni dalam masyarakat berbilang kaum,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar penganjuran program sedemikian diteliti semula dengan mengambil kira aspek agama, moral serta kepentingan masyarakat secara menyeluruh.