Isu Hutang Misteri, Felda Langgar Terma Perjanjian?

7176

Sehingga kini, Felda gagal memberi jawapan yang menyakinkan kepada peneroka Felda mengenai dakwaan rekod berkaitan hutang peneroka Felda 2005 hingga 2008 hilang atau gagal dikesan. Isu ini mulai timbul apabila tiada penyata hutang bekalkan beberapa tahun kebelakangan ini. Namun tiada tindakan penyelesaian diambil sebaliknya rekod hutang peneroka Felda terus menjadi pertikaian.

Awal tahun 2016, kami bersama-sama beberapa NGO dan aktivis yang mewakili peneroka Felda, melalui persidangan Kongres Rakyat yang bersidang diseluruh Negeri mengesa Felda menyelesaikan penyata hutang peneroka Felda secara terperinci dan holistik. Felda perlu kemukakan penyata hutang terperinci sejak 2005 hingga 2016. Masalah ini mulai timbul apabila Felda menyerahkan urusan pengurusan kebun peneroka kepada Felda Technoplant (FTP). Sejak pengurusan kebun diserahkan pengurusan FTP sekitar tahun 2005 ( berbeza-beza antara rancangan, mengikut proses tanam semula) disinilah bermulanya masalah hutang peneroka Felda selepas mereka telah bebas hutang sebelum ini.

Antara NGO yang lantang waktu itu adalah Suara Kedua Generasi Felda (SGK2F) yang diwakili Datuk Zulkifli Nordin , GENERASI, KAF, ANAK dan beberapa kumpulan aktivis lagi sepakat membawa isu ini dengan cara dan saluran masing-masing. Namun begitu tiada tindakan walaupun mereka menggunakan saluran yang betul. Mereka dijanjikan penyelesaian segera hingga isu hutang ini riuh rendah dihampir semua tanah rancangan seluruh negara.

Oleh kerana peneroka Felda diseluruh negara hanya diberi penyata keseluruhan hutang kasar, dengan cetakan ringkas keluar masuk perihal hutang, terutama hutang pembangunan tanam semula kali pertama secara kasar sahaja. Ini menyebabkan jumlah yang tertera sampai kepada peneroka felda menimbulkan kejutan dan menjadi kebimbangan mereka dengan jumlah yang tidak munasabah. Bagi akaun hutang sosial, ianya tidak dipertikaikan kerana melibatkan pinjaman yang jelas. Hutang keseluruhan peneroka Felda sehingga 2016 mencecah RM5 bilion.

Bila desakan terhadap Felda kemuncak pertengahan tahun 2016, Pengerusi Felda waktu itu, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad akhirnya akur dan berjanji akan menyelesaikan masalah ini dengan memberi jaminan dan janji semuanya akan dibereskan selewatnya penghujung september 2016. Kenyataan ini turut disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada Selasa 30 Ogos 2016. Bulan demi bulan, tahun 2016 ditinggalkan sehinggalah Isa Samad ditendang dari Felda, isu ini berlarutan sehingga sekarang walaupun tahun 2017 hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Saya turun dihampir semua tanah rancangan di Terengganu dan juga beberapa wilayah di seluruh negara, mengutip maklumat berdasarkan perjumpaan terus dengan peneroka felda, boleh saya katakan hanya mereka yang menyerahkan urusan pengurusan kebun mereka kepada FTP sahaja dibelenggu dengan masalah penyata hutang yang tidak munasabah dan penuh misteri ini.

Kami juga duduk bersama-sama dengan NGO-NGO terlibat bertukar-tukar maklumat dan pendapat mencari punca masalah dan merangka jalan penyelesaian terbaik atau menang-menang antara peneroka dan Felda. Kami semua menempuh jalan yang sukar dan berbagai halangan dan cabaran untuk berusan dengan pihak Felda terutama sewaktu zaman Isa Samad yang mengamalkan pentadbiran tutup pintu terhadap NGO dan aktivis yang agak lantang. Felda sendiri ada sekitar 15 NGO yang bernaung dibawahnya namum semua NGO ini terbatas kerana seolah menjadi proksi Kepada Felda sahaja.

Apa yang agak mengejutkan apabila kami menemui satu perlanggaran perjanjian oleh pihak Pengurusan Felda yang menjadi punca segala masalah ini selaian daripada masalah pengurusan FTP itu sendiri. Kami merujuk satu perlanggaran yang nyata dalam terma Perjanjian Tanam Semula Dan Pengurusan Kebun Antara FELDA dan Peneroka Felda.

Saya merujuk Perkara 14 (h) yang berbunyi : Segala Kos Pengurusan, Kos Operasi, Kos Tanam Semula, Bayaran Sara Hidup dan Pendahuluan hasil termasuk caj perkhidmatan akan ditolak daripada kebun tersebut pada tiap-tiap bulan dalam tahun berkenaan. Penyata perbelanjaan dan pendapatan Kebun tersebut akan disediakan bagi tiap-tiap suku tahun pada tahun tersebut.

Di baris akhir ayat itu jelas bahawa Felda perlu menyediakan penyata perbelanjaan dan pendapatan setiap tiga bulan sekali atau empat kali setahun agar segala angka hutang semasa dalam tahun itu dapat dikunci kira-kira dan dipersetujui bersama. Bilamana Felda gagal mematuhi perjanjian ini, ianya akan merumitkan dan menjadi bertambah rumit jika ianya berterusan bertahun-tahun.

Saya mengambil contoh dakwaan seorang anak peneroka Felda Soeharto Selangor yang mendakwa sejak dari 2005 hingga 2016 beliau tidak pernah menerima sebarang penyata hutang. Kenyataan ini boleh dirujuk dalam satu laporan Khas Sinar Harian melalui ruangan SOROT keluaran Isnin 29 Ogos 2016 muka surat 10.

Ini belum diambil perkiraan jumlah Metrik Tan penghasilan BTS setiap bulan yang diuruskan oleh FTP berbanding dengan jumlah penghasilan BTS kebun yang diurus sendiri secara individu oleh peneroka. Jika perbandingan purata tahunan kebun yang diurus sendiri berbanding FTP secara perbandingan mudah. Fakta ini sewajar Felda yang keluarkan kerana saya yakin mereka mempunyai data cukup purata tan tahunan BTS seseorang peneroka Felda.

Jika penghasilan BTS capai sasaran 25tan / Hektar ( pokok matang) setahun mustahil Felda tidak boleh memotong kos hutang pembangunan dan operasi tanam semula kebun peneroka ini. Kita akui penghasilan BTS berbeza setiap tanah rancangan berdasarkan beberapa faktor, tetapi kami tidak boleh terima jika ada peneroka Felda direkodkan purata BTS mereka hanya sekitar 2 hingga 5 tan sebulan, berbanding di kebun sebelah yang urus sendiri mampu capai purata tahunan 9 metrik tan sebulan.

Kami mengalukan pihak pengurusan Felda menjemput kami semua NGO dan Aktivis untuk duduk bersama, memberi penjelasan secara baik mengenai isu yang kami bangkitkan ini. Mencari salah amat mudah, menyelesai masalah itu yang payah. Ini ungkapan biasa kami dengar diluahkan oleh pengurusan Felda. Namun bila kita melihat gambaran Felda sebuah badan yang gah, cemerlang dan menjadi konglomerat perladangan negara, punyai aset melebihi RM20bilion adalah tidak munasabah Felda tiada mekanisma pengurusan hutang yang cekap dan telus.

Sekian.
Naraza Muda
Pegawai Khas Seranta Felda PAS Terengganu.
13 Disember 2017.