PAS Tanding 40 Kerusi Terengganu, Bukit Payong Bersedia

2950

Oleh : Mohd Nasir Abdullah

MARANG – “Saya nak ulang balik, walaupun saya rasa dah ramai orang yang tahu bahawa PAS Terengganu akan bertanding di semua lapan kerusi parlimen dan 32 kerusi Dun di negeri Terengganu,” itulah penegasan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husein Awang.

Beliau mengumumkan keputusan itu dalam program Lawatan Kerja Pesuruhjaya ke DUN Bukit Payong malam tadi di Dewan Madrasah Darul Iman, Bukit Payong.

Laungan takbir bergema sejurus beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 300 orang ahli PAS di DUN Bukit Payong yang hadir bagi mendengar amanat dan berdailog dengan beliau.

Sambil memuji kehadiran ahli dari Bukit Payong, beliau memberitahu, inilah kehadiran yang teramai yang beliau lihat setelah membuat lawatan ke 28 buah Dun, disamping kehadiran lelaki adalah lebih ramai berbanding wanita.

Paling menggembirakan beliau ialah, persiapan bilik-bilik gerakan di Dun Bukit Payong juga dianggap antara yang terbaik di kalangan Dun-Dun yang menang.

Ustaz Hussein juga mengimbau kembali senario yang berlaku di Terengganu sekitar tahun 1969 dimana PAS Terengganu ketika itu kalah disebabkan Besut gagal menyumbang kerusi yang sepatutnya PAS menang.

Kedudukan ketika itu menjadi 11 PAS dan 13 Perikatan, hampir sama senario dengan sekarang, dimana pembangkang kalah dua kerusi dan ianya juga kerana tiada sebarang kerusi dari Besut dan Setiu.

Oleh itu beliau berharap agar PAS tidak menerima kekalahan yang serupa bagi kali ketiga pada PRU nanti dan berusaha untuk Besut menyumbang kerusi kepada PAS Terengganu disamping mengekalkan kerusi yang ada.

Bekas Speaker DUN Terengganu itu juga mengingatkan ahli-ahli agar menumpukan empat perkara yang disarankan di dalam al-Quran bagi melaksanakan tugas disamping memperolehi kebaikan dari Allah.

Mesti bersabar dalam menempuh segala ujian, menasihati antara satu sama lain, ribath, iaitu menjaga kubu sendiri dengan bersungguh-sungguh dan yang terakhir mesti berusaha menjadi orang yang bertaqwa.

Menyentuh tentang kritikan-kritikan bahawa beliau dilihat sebagai agak tua berbanding pesuruhjaya lain, Ustaz Hussein menerangkan ianya adalah kerana arahan pimpinan dan tanggungjawab terhadap jemaah dan agama.

“Jika sekiranya PAS ini NGO, sudah lama saya bersara dari memegang jawatan-jawatan ini.

“Tetapi oleh kerana arahan pimpinan dan PAS ini adalah parti yang membawa agenda Islam, maka saya tetap memikul tanggungjawab ini.

“Hati saya ini masih muda sama seperti Pemuda dan Ameera untuk mencapai kemenangan,” kata beliau sambil disambut gelak ketawa ahli-ahli PAS Bukit Payong.