Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Kebebasan untuk minum arak dan kebebasan mengadakan pesta arak adalah dua perkara yang berbeza, bukan muslim dibenarkan minum arak kerana agama mereka membolehkan mereka minum arak. Namun mereka tak dibenarkan mengadakan pesta minum arak dengan mengajak penganut Islam menyertai pesta bejat minum arak. “Arak adalah ibu kejahatan” pesan ar Rasul SAW kepada umat baginda. Mentekedarah arak membawa kepada pelecehan dan rangkaian kejahatan yang lain seperti zina, sumbang mahram, pergaduhan , hilang perawan, pemerkosaan, hilang maruah diri dan penistaan pada karomah insaniah.
Pertengahan fajar tahun 2022, agak reda daripada pandemik maka pelbagai pesta pora maksiat kembali membuncah. Manusia seolah melupakan wabak yang telah mengorbankan jutaan nyawa diseluruh dunia. Tanah leluhur ini bakal menyaksikan konsert Dewa , konsert Justin Bieber, Konsert Black Pink , Oktoberfest dan puluhan acara maksiat yang lain sehinggalah mampus!.
Minggu ini isu pesta arak Oktoberfest mencanak semula ditanahair tercinta setelah tanpa berita dalam dua tahun musim pandemik kovid 19. Sikap Lim Kit Siang sesepuh Dap yang menyelar Menteri Agama sangat menikam nurani umat Islam, bangsa Dap ini tanpa berselindung terus menunjukkan wajah sebenar mereka terhadap Islam.
Muslim negara ini wajar merasa marah dan tersinggung dengan isu sambutan pesta arak Oktoberfest. Jika pembaca masih ingat apa yang berlaku sebelum wabak kovid menyelimuti dunia ialah anjuran ‘Oktober Fest 2018′ di Mid Valley Kuala Lumpur . Walaupun mendapat tentangan NGO -NGO bernuansa Islam ,pesta ini tetap diadakan bahkan sebagai menunjukkan sikap angkuh mereka kepada saranan agar jangan diadakan pesta arak di negara ini.
PAS menentang habis habisan apa sahaja agenda pesta arak semenjak dekad 1950an saat ” the blue eyes mentality” masih menyerkap kelompok kelas menengah Melayu negara ini. Semasa dalam kerajaan campuran dalam dekad 70an, PAS berjaya menghalang majlis arak dalam program kerajaan, menyekat iklan- iklan arak dalam media arus perdana, menutup bar di bangunan Parlimen dan pelbagai usaha lagi. Lihat sahaja sejarah pemerintahan PAS di Kelantan, Terengganu , tiada sebarang bentuk kompromi terhadap pesta minum arak termasuk yang terkini di Long Beach Pulau Perhentian Terengganu.
Bagi kelompok liberalis, pesta minum arak adalah ruang untuk penganjur berekspresi atas nama kebebasan dan hak asasi manusia. Pada tahun 2017 menyaksikan bantahan tegas umat Islam terhadap Oktober Fest sehingga Selangor dan Wilayah Persekutuan tak membenarkan acara tersebut berlangsung manakala Pulau Pinang terus menganjurkan pesta arak dengan sinisan Ketua Menterinya,Lim Guang Eng bahawa , ” negeri kami bukan negeri Toliban”.
Pada tahun 2012, ketika ia julung kali diadakan, tujuannya sebagai merayakan pembuatan beer di Malaysia dan diadakan di Taps Beer Bar di Changkat Bukit Bintang dengan kehadiran 200 orang pengunjung. Ia diadakan sekali lagi pada tahun 2016 di Publika Shopping Gallery dengan menyediakan 150 jenama arak dan kehadiran mencecah 3500 orang. Pada tahun ini pula, penganjur membawa 250 jenama arak berbeza dari 43 syarikat arak (breweries) untuk memenuhi citarasa pengunjung dari serata dunia. Sasaran kali ini jauh lebih ramai dengan kehadiran 6000 orang.
Melihat kepada penganjuran festival ini, tentunya tidak ada masyarakat khususnya umat Islam mampu berdiam diri dengan membiarkan penganjur sewenang-wenangnya mengadakan pesta maksiat buat kesekian kalinya di Kuala Lumpur. Adalah sesuatu yang memalukan buat negara Islam seperti Malaysia, apabila program mungkar mudah mendapat tempat di hati masyarakat dan dibiarkan penganjurannya tanpa halangan. Kita tidak sanggup jika Kuala Lumpur atau mana-mana tempat di negara ini dikenali oleh dunia sebagai pusat maksiat terbesar di Asia.
Dalam penganjuran pesta arak ini, walaupun penganjur beralasan ia adalah aktiviti untuk bukan Islam termasuk mempromosikan pelancongan terhadap masyarakat, namun, yang paling dikesali kerana mereka memilih Malaysia sebagai lokasi pesta arak. Malaysia telah menjadi destinasi strategik untuk aktiviti bebas kepada masyarakat luar seperti tidak ada sekatan undang-undang dan peraturan. Walaupun umat Islam bukan menjadi sasaran penyertaannya, tetapi tiada had atau halangan jika ada orang Islam yang menyertainya, sekaligus menggamit sesiapa sahaja untuk hadir termasuk orang Islam.
Jika penganjuran tahun 2017 , 2018 serta 2019 kurang berjaya pesta Oktoberfest akibat bantahan awam terutama daripada PAS dan gerakan swadaya Islam yang lain maka tidak mustahil aktiviti yang berskala lebih besar akan diadakan pada tahun-tahun hadapan jika tidak dibendung pada tahun ini. Normalisasi dosa serang menyergap tanahair kita sebagaimana meranumnya fahaman Islam liberal dibawah lanskap sosio politik ‘Malaysia Baru’. Arak adalah ibu maksiat yang sangat tercela dalam Islam. Apakah jaminan keselamatan dapat diberikan kepada orang awam yang tidak terlibat seperti berlaku jenayah, seks bebas, rogol dan lain-lain dengan penganjuran pesta arak terbuka ini?
Pendedahan demi pendedahan mengenai kemungkaran oleh pelbagai pihak membuktikan telah banyak kepincangan berlaku di negara ini akibat budaya minum arak, namun kerajaan sewajarnya bertegas dan jangan memekakkan telinga daripada mendengar keluhan rakyat. Sama ada ‘Oktober Fest’ adalah aktiviti terlepas pandang oleh pihak kerajaan (mustahil kerajaan tidak mengetahui sesuatu aktiviti rasmi yang berlaku di ibu kota), atau sengaja dibiarkan bagi menunjukkan sikap terbuka kerajaan kepada tuntutan minoriti yang menyimpang. Namun bagi umat Islam yang prihatin, tidak ada suara yang dapat mengungkapkan perkataan terhadap penganjurannya – melainkan bantahan keras dengan memastikan ia tidak diadakan di ibu kota atau dimana- mana lokasi lain.
Kebencian masyarakat terbanyak terhadap aktiviti maksiat juga perlu dipandang berat dan diraikan, bukan hanya meraikan keinginan segelintir manusia yang memuja nafsu. Kerajaan PN yang ditunjangi oleh elemen Melayu Islam wajib mengambil iktibar daripada amaran demi amaran yang Allah telah zahirkan. Jangan menganggap berpesta arak adalah dosa peribadi , ” personal sin is not a criminal” kerana dampak dan masalah hilirannya menganggu masyarakat awam yang cintakan kedamaian dan keharmonian.Hati masyarakat muslim negara ini tidak redha terhadap kemungkaran berlaku, merasa benci dengan pesta arak yang dianjurkan dan bahkan boleh mengundang kegiatan ekstremis yang menggugat ketenteraman awam. Batalkan Oktober Fest 2022, ketololan anda mengundang kemurkaan pencipta alam ini!.
(Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)