KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Kuala Terengganu (KT) menegaskan komitmennya untuk terus memimpin dan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.
Penegasan itu dibuat oleh Naib Yang Dipertua PAS Kawasan tersebut, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Terengganu Kali Ke-51, Sabtu lalu.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa mesyuarat kali ini mempunyai nilai yang cukup signifikan kerana dijangka menjadi mesyuarat agung terakhir sebelum medan perjuangan yang lebih besar menanti pada PRU16.
“Selepas ini, kita akan turun sepenuhnya ke medgian jihad pilihan raya. Masa, tenaga dan kewangan perlu digandakan demi memastikan kemenangan Islam terus dipertahankan,” katanya.


Beliau turut mengingatkan ahli bahawa dasar perjuangan PAS yang berteraskan Islam adalah bersifat tetap dan tidak akan berubah walau dalam apa jua keadaan.
“Dasar kita ialah Islam. Ia bersifat thabat, kekal dan tidak berubah. Namun strategi politik, pendekatan dan kerjasama boleh berubah mengikut keperluan semasa, geopolitik dan maslahah perjuangan,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menjelaskan, slogan baharu PAS Terengganu, Teguh Memimpin membawa mesej PAS bukan sekadar mempertahankan kedudukan, bahkan bersedia mengemudi dan memimpin Perikatan Nasional (PN) secara konsensus sebagaimana mandat yang diputuskan di peringkat muktamar.


“PAS mesti menjadi parti yang memimpin. Kita bukan hanya mempertahan, tetapi kita memimpin dengan prinsip, hikmah dan kesepakatan,” katanya.
Justeru, beliau menyeru seluruh ahli agar memperkukuhkan saf, meningkatkan pengorbanan serta bersedia menghadapi PRU16 dengan penuh keyakinan.
“demi memastikan kesinambungan pentadbiran Islam di Kuala Terengganu, Terengganu dan Malaysia terus terpelihara.” tambah beliau





























