Kekuatan Parti Terletak Pada Kesatuan Ahli

44

KEMAMAN – Perjuangan tidak bergantung kepada mana-mana individu atau kelompok tertentu, sebaliknya dibina atas kesungguhan dan komitmen seluruh ahli yang istiqamah berkhidmat di medan masing-masing.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Haji Mohd Nor Hamzah menegaskan, setiap kejayaan yang dikecapi parti hari ini merupakan hasil pengorbanan dan usaha bersama daripada pelbagai lapisan ahli, termasuk mereka yang bekerja di lapangan serta petugas yang berjuang tanpa mengharapkan pengiktirafan.

“Setiap kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil pengorbanan dan usaha bersama. Ada yang memimpin, ada yang bekerja di lapangan, dan ada yang berjuang tanpa dikenali, namun semuanya bernilai di sisi Allah SWT,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Jentera PAS DUN Cukai N31 di Kemaman Arena Square, semalam.

Ustaz Mohd Nor turut merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas yang hadir dan memainkan peranan dalam menggerakkan jentera parti di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, kekuatan organisasi hanya dapat dipertahankan melalui kesatuan saf, gerak kerja yang tersusun serta komitmen berterusan daripada seluruh anggota parti.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua ahli dan petugas agar terus memperkukuh saf perjuangan, memperkemaskan gerak kerja serta melangkah dengan penuh keyakinan bagi memastikan agenda perjuangan parti dapat diteruskan dengan lebih berkesan pada masa hadapan.

“Ayuh terus memperkukuh saf, memperkemaskan gerak kerja dan melangkah menuju kemenangan dengan penuh yakin,” katanya.