Rangka Pelan Pemberdayaan, Lahirkan Cendekiawan

83

Oleh : Rohayati Ripin

HULU TERENGGANU – Muslimat PAS merangka pelan pemberdayaan kaum hawa yang terperinci sehingga mampu melahirkan kader muslimat cendekiawan

Ketua Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu (DMPNT), To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, tindakan
perlu diambil dari sekarang bagi meneruskan perjuangan politik pada masa depan.

“Sayap muslimat PAS perlu semakin agresif memainkan peranan dalam pebagai bidang seperti politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan kesihatan dari peringkat pengurusan sehingga ke peringkat pembuat dasar.

“Kesyumulan Islam di dalam semua sektor terbabit perlu diketengahkan dengan menampilkan tenaga muslimat yang pakar dan mampu membawa perubahan selari dengan kehendak ajaran Islam,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Ucap Tema Muktamar Tahunan DMPNT) kali ke-49 di Dewan Surau Abdullah bin Umar, Madrasah Darul Al Ansar, Lil Tahfiz Quran, di sini, hari ini.

Menurutnya, tugas untuk melaksanakan ‘amar makruf nahi mungkar’ bukan sahaja terletak pada bahu pimpinan muslimin sahaja tetapi tugas ini menjadi tugas bersama.

“Muslimat harus gembleng tenaga untuk turut menjadi agen amar makruf nahi mungkar.

“Jangan jadi pemimpin yang berusaha kerana hanya melakukan perkara makruf tapi tidak berusaha dan berani dalam mencegah yang mungkar,” ujar beliau.


Zarani menambah, kaum hawa perlu menjadi pemimpin yang bersifat mesra dan cakna serta memahami kesusahan yang dialami oleh masyarakat di sekeliling.

“Sikap ini penting agar tidak mengabaikan hak dan tanggungjawab kita dalam bermasyarakat. Perkara ini penting agar muslimat tidak hanya fokus kepada gerak kerja dalaman parti sahaja sehingga mengabaikan sasaran umum.

“Golongan sasaran kita juga perlu merasai kemanisan berada di dalam berada dalam jemaah Islam,” kata beliau.

Justeru itu, beliau menyeru agar wanita sentiasa turun padang bersama bantu kerajaan menangani masalah rakyat negeri ini.