Oleh : Hidayah Azlin
BESUT– Politik dalam kerangka Islam bukan sekadar medan untuk mengkritik atau memaki hamun pihak lawan, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada tuntutan agama (Ad-Deen) dalam menguruskan kebajikan masyarakat.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, tanggapan segelintir pihak yang memisahkan politik daripada agama berpunca daripada kekeliruan dalam memahami istilah ‘agama’ itu sendiri.
Menurut beliau, masyarakat Barat sering menterjemahkan agama (religion) sebagai sekadar hubungan peribadi antara manusia dengan Tuhan yang bersifat ritual semata-mata.
“Berbeza dengan Ad-Deen dalam Islam, ia mengandungi dua dimensi utama iaitu hubungan manusia dengan Allah (Hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (Hablumminannas).
“Menunaikan tanggungjawab pemerintahan kepada rakyat adalah tanggungjawab politik yang menjadi sebahagian daripada sistem cara hidup tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosialnya, semalam.
Mengulas lanjut, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi menjelaskan, konsep berpolitik tidak seharusnya disempitkan kepada retorik dan polemik kepartian semata-mana.
Tegasnya, usaha harian yang dilakukan oleh pihak kerajaan mahupun pemimpin dalam menyelesaikan urusan dan permasalahan rakyat juga merupakan satu bentuk ibadah dan tanggungjawab politik yang dituntut.
“Bekerja sehari-hari menyelesaikan urusan sesama manusia adalah sebahagian dari tanggungjawab berpolitik dalam agama Islam.
“Politik Islam itu sendiri membawa makna yang besar iaitu mendirikan agama dan mentadbir dunia dengan berpandukan acuan agama,” ujarnya lagi




























