KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu perlu segera menyiapkan projek perumahan Generasi kedua ( PGBF) agar penantian golongan ini diselesaikan.
Amat malang jika projek ( PGBF ) di Felda Neram, antara yang pertama di Terengganu masih dalam proses pembinaan. Projek ini yang dimulakan beberapa tahun lalu sepatutnya sudah siap dan diagihkan.
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS, Naraza Muda berkata, sepatutnya projek ini sudah memberi manfaat kepada warga generasi kedua di sana.
“Felda Wilayah Terengganu sewajarnya mengambil peluang peruntukan RM1.4bilion untuk dibina 20 ribu unit PGBF seluruh negara,”ujarnya.
Beliau terkejut apabila kunjungan ke Felda Kertih 5 Kemaman mendapati, tidak ada sebarang kerja pembinaan dilakukan di tapak tersebut.
“Hasil siasatan kami mendapati ia sudah lama terbengkalai, jadi tidak sewajarnya pihak Felda terus membiarkan kontraktor dilantik tidak melaksanakan projek ini sehingga siap dan boleh berlaku kelewatan untuk diduduki.
“Kami bimbang jika projek dalam pembinaan ini tertangguh, bagaimana pula harapan di tempat lain? Yang telah lulus tidak siap, macamana nak mulakan projek baru ditempat lain,’jelasnya.
Turut sama dalam lawatan resebut ialah Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzaman Abdullah dan Ahli Jawatakuasanya Zul Syawaluddin Jusoh.
Malangnya kata beliau, Felda yang tertua di Terengganu, Felda Chalok Rahmat telah dinafikan kelulusan PGBF, sedangkan hampir semua peneroka asal sudah tiada. Sepatutnya PGBF sudah lama ada di Felda Chalok Rahmat ini.
“Felda Jerangau dan Felda Bukit Bading juga antara terawal di Terengganu masih menanti bilakah PGBF ini akan diluluskan di tempat mereka.
“Bukit Bading walaupun sudah dibuat majlis Perasmian pecah tanah projek perumahan generasi kedua oleh Menteri Besar Terengganu pada tahun 2012, sampai sekarang masih tidak ada tanda pembinaan akan dijalankan dalam masa terdekat,”ujarnya lagi
Beliau berkata ia adalah isu-isu besar dikalangan warga generasi kedua Felda dan pihaknya mendesak supaya pihak Pengurusan Felda Wilayah Terengganu dapat menyelesaikan kemelut penantian dan harapan oleh warga Felda.
“Pihak Kerajaan negeri juga perlu mendasari masalah warga Felda ini. Perdana Menteri juga pernah menawarkan harga PGBF dikurangkan dari RM90 ribu kepada RM70 ribu semasa Sambutan Hari Peneroka Felda peringkat kebangsaan di Stadium Tertutup Gong Badak akhir tahun lalu.
“Tidak bermakna pengumuman Perdana Menteri ini buat warga generasi Felda Terengganu jika rumah yang ditawarkan pengurangan harga itu tiada di Terengganu,”tambah beliau.
Tegasnya, satu tindakan mestilah dibuat segera agar Kerajaan tidak dilihat membohongi generasi kedua Felda dan rumah bukan bahan tawar menawar atau umpan piliharaya kerana katanya Perumahan untuk generasi Felda Terengganu adalah satu keperluan.