DUPNT Bantah Pembangunan Tindas Rakyat

385

KUALA TERENGGANU- Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu (DUPNT) menggesa Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) ditarik balik kerana dianggap membuka ruang besar kepada pembangunan yang menindas rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah di bandar-bandar besar.

Ketua DUPNT, Dr. Haji Wan Mat Sulaiman berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) yang membantah pembentangan RUU tersebut.

“RUU ini jelas bercanggah dengan kerangka Fiqh Siyadah yang menuntut pemerintah menjaga kepentingan rakyat secara menyeluruh. Ia juga mengabaikan maqasid syariah dalam aspek Hifz al-Mal al-Kabir (penjagaan harta awam) apabila hak pemilik asal terdedah kepada risiko perampasan secara halus melalui nilai ambang persetujuan yang rendah serta tempoh hayat bangunan yang singkat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan semula bandar tidak boleh didorong oleh keuntungan kapitalis semata-mata, sebaliknya mesti berasaskan kelestarian bandar yang adil, inklusif dan berpandukan maqasid syariah.

“Jika tidak, rakyat marhaen akan terus terpinggir melalui proses gentrifikasi bandar yang memaksa mereka keluar dari penempatan asal dan terputus daripada jaringan ekonomi serta sosial,” ujarnya.

Katanya lagi, semua pihak berkuasa negeri dan tempatan wajib memainkan peranan lebih proaktif dalam melindungi hak rakyat, bukannya menyerahkan bulat-bulat urusan pembangunan kepada tekanan pusat atau pemodal.

“Kerajaan negeri mesti memastikan dasar perumahan dan pembangunan bandar dilaksanakan dengan mengambil kira suara rakyat terbanyak serta prinsip keadilan Islam,” jelasnya.

Sehubungan itu, DUPNT dengan tegas menggesa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menarik balik teks RUU URA daripada pembentangan kali kedua di Dewan Rakyat, selaras dengan bantahan dan kritikan yang telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak termasuk NGO, peguam dan sebahagian Ahli Parlimen Kerajaan sendiri.

“Pembangunan yang menindas rakyat adalah pembangunan pincang. Ia bukan sahaja ditolak oleh Islam, bahkan akan ditolak oleh rakyat dengan sendirinya,” katanya.