PASTI Bentuk Jiwa Merdeka

459

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Pendidikan di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) bukan sekadar memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, sebaliknya turut memfokuskan pembentukan jiwa merdeka dalam kalangan kanak-kanak seawal usia empat hingga enam tahun.

Menerusi pendekatan pendidikan bersepadu, PASTI menanam nilai cinta agama, bangsa dan tanah air melalui nyanyian lagu kebangsaan, pengibaran Jalur Gemilang, penghayatan kisah tokoh pejuang serta pengenalan kepada simbol negara.

Selain itu, murid juga diasuh dengan amalan harian berteraskan nilai Islam seperti doa, adab bersama guru dan rakan, disiplin diri serta menjaga kebersihan, sekali gus membentuk jati diri dan semangat patriotisme sejak kecil.

Guru PASTI Al Huda, Meriamah Omar berkata, pendekatan didik hibur merangkumi nyanyian, permainan dan lakonan menjadi kaedah berkesan untuk menanamkan semangat kemerdekaan dengan cara yang menyeronokkan.

“Sambutan bulan kemerdekaan di PASTI bukan hanya acara hiasan, sebaliknya diserapkan dalam kurikulum harian.

“Guru mengaitkan tema kemerdekaan dalam subjek seni, bahasa dan pendidikan Islam. Nilai cinta tanah air pula diterapkan melalui doa, disiplin dan rasa syukur setiap hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, antara aktiviti yang dijalankan ialah perarakan mini Jalur Gemilang, pertandingan mewarna bendera, deklamasi sajak, pakaian bertema kemerdekaan, bercerita kisah tokoh pejuang serta gotong-royong di kawasan sekolah.

“Ibu bapa turut menyambut baik usaha itu kerana melihat pendidikan di PASTI melahirkan anak-anak yang bukan sahaja bijak membaca, menulis dan mengira, malah berakhlak mulia, berkeyakinan serta menghormati guru dan rakan,” jelasnya.

Mereka berpendapat pendidikan seimbang antara akademik, sahsiah dan spiritual di PASTI menjadi benteng awal daripada pengaruh negatif luar.

Justeru itu, beliau berharap agar anak-anak didikan mereka membesar sebagai generasi pelapis yang berilmu, beriman, berakhlak mulia danmampu mempertahankan agama serta kemerdekaan negara.