KUALA TERENGGANU – Kerajaan digesa mendedahkan laporan siasatan tanah runtuh yang berlaku di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Pulau Pinang, pada bulan lepas kepada umum.
Ahli Parlimen Kemaman, Tuan Che Alias bin Hamid berkata siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Khas Siasatan itu, dijangka tarikh dan tempoh siasatannya ditetapkan pada minggu ini.
“Saya harap pihak jawatankuasa siasatan tidak mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan isu ini”, ujar beliau.
Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman itu memberitahu demikian di dalam kenyataan media yang dikeluarkan, pada Jumaat, 1 November.


Menurutnya, banyak pihak yang ingin mengetahui punca sebenar kejadian yang telah meragut banyak nyawa itu.
“Adakah kes tanah runtuh ini juga berlaku disebabkan tiga kecuaian itu iaitu kecuaian kelulusan, kecuaian pemantauan dan kecuaian mematuhi garis panduan seperti sebelum ini?,” soalnya .
Tegasnya, tindakan undang-undang sepatutnya diambil dan kerajaan tidak boleh berkomplot dengan mana-mana pihak yang bersalah.
Oleh itu, beliau berharap agar Kerajaan Pulau Pinang memberi perhatian terhadap kebimbangan yang disuarakan oleh penduduk serta Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO’s) .
“Untuk mengelakkan kejadian malang itu terus berulang(ialah) dengan mengurangkan penggondolan bukit untuk pembinaan,” beliau mencadangkan.
Katanya, Pulau Pinang sering kali berlaku kes tanah runtuh daripada tahun 2016 Oktober 2018 sehingga dikenali sebagai “Darul Bencana” .





























