Cadang Kerajaan Naikkan Harga Siling Getah RM4

2706

Oleh : Abi Wan Fathullah

KUALA TERENGGANU – Cadangan kerajaan pusat untuk meningkatkan kepelbagaian penggunaan getah seperti dijadikan bahan campuran dalam pembinaan jalan raya adalah satu inovasi menarik.

Namun bagi Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya tidak melihat ia akan mampu melonjakkan harga komoditi ini di pasaran seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

“Isu utama bukan getah kita tak laku dipasaran dunia sehingga inovasi penggunaannya yang dipelbagaikan akan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil,” katanya dalam ulasan ringkas mengenai cadangan itu dalam Pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen hari ini.

Selain itu, Dr Azman (gambar bawah) juga mengharapkan pihak kerajaan mengkaji semula kadar kejatuhan harga getah di bawah paras RM2.20 sekilogram untuk melayakkan mereka menerima sokongan pendapatan dari IPG.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu, harga RM2.20 sekilogram adalah terlalu rendah.

“Inilah harga purata getah yang sedang ‘dinikmati’ oleh para penoreh getah sejak sekian lama.

“Kehidupan penoreh dengan harga getah pada paras sekitar RM2 sekilogram sebenarnya lebih dari tak cukup untuk menampung keperluan kehidupan harian yang minima,” ujarnya lagi.

Beliau mencadangkan supaya idea meletakkan harga lantai getah pada paras minima sekitar RM4 sekilogram.

“Respon yang saya perolehi dari rata-rata masyarakat penoreh, dengan kadar itu, mereka tak memerlukan apa-apa bantuan ‘adhoc’ yang lain seperti bantuan musim tengkujuh dan sebagainya,” katanya lagi.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan pusat mengumumkan bahawa bagi industri getah pula, kerajaan komited untuk membantu meningkatkan kepelbagaian penggunaan getah tempatan dalam produk-produk industri dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Sebagai contoh, kerajaan akan memperluas penggunaan getah tempatan sebagai bahan campuran dalam pembinaan jalan raya bagi meningkatkan daya ketahanan jalan disamping mengurangkan kos penyelenggaraan.

Kerajaan juga katanya, menyasarkan penggunaan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) terutamanya untuk pembinaan jalan raya di kawasan pelabuhan dan perindustrian secara berperingkat.

Untuk tujuan ini, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kerajaan.

Selain itu, kerajaan akan menyediakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga getah kepada pekebun kecil.

Pekebun kecil akan menerima sokongan pendapatan daripada IPG jika harga getah jatuh bawah RM2.20 sekilogram.