Bahaya Tidak Mengundi, Syabas Anak Muda

163

Allah SWT menetapkan wajibnya politik bagi menegakkan Islam itu berkuasa dan berdaulat, malah ia menjadi suatu amanah besar kepada makhluk manusia sejak diciptakan alam semesta ini. Perkara ini dijelaskan oleh firman-Nya:
إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا٧٢
“Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan segala perkara amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka takut akan mengkhianatinya. Dan amanah itu dipikul oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” (Surah al-Ahzab: 72)

Amanah terpenting ialah amanah memimpin negara yang mentadbir semua urusan kehidupan manusia di alam dunia yang menjadi ketetapan Allah SWT mengikut petunjuk-Nya, sebagaimana yang telah dinyatakan sejak diciptakan Nabi Adam AS sehingga Hari Kiamat. Firman Allah SWT:
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah (daripada kalangan makhluk manusia) di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu, daripada kalangan orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” (Surah al-Baqarah: 30)

Khilafah itu ialah tugas memimpin negara atau mentadbir urusannya di atas muka bumi oleh pemimpin, imam atau raja. Khususnya, dalam urusan yang dinamakan siasah (politik) pemerintahan negara mengikut petunjuk Allah SWT. Kewajipan yang ditetapkan kepada manusia sesuai dengan sifat kejadiannya yang mempunyai akal, roh, jasad dan bermasyarakat madani.

Perkara ini ditafsirkan oleh firman Allah SWT:
كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ٢١٣
“Manusia itu asalnya daripada umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan itu. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana kedengkian antara mereka sendiri. Maka, Allah memberikan petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberikan petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” (Surah al-Baqarah: 213)

Jalan yang lurus termasuk dalam doa yang dipinta melalui bacaan Surah al-Fatihah, salah satu rukun dalam setiap rakaat solat yang menjadi salah satu rukun Islam, termasuklah juga dalam solat sunat dan solat jenazah yang tiada rakaat.

Selain itu, ditafsirkan oleh hadis Rasulullah SAW melalui sabdanya:
كَانَتْ ‌بَنُو ‌إِسْرَائِيلَ ‌تَسُوسُهُمُ ‌الأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ.
“Kaum Bani Isra’il pada zaman dahulu, pemimpin yang mentadbir urusan politik mereka ialah para nabi. Apabila wafat seorang nabi, maka digantikan dengan nabi yang lain selepasnya (silih berganti). Tiada lagi nabi selepasku (Muhammad SAW), namun akan ada para pemimpin atau raja-raja. Dan jumlah mereka itu amatlah ramai.”
قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟
Para sahabat bertanya: “Apakah wasiatmu wahai Rasulullah kepada kami?”
قَالَ: أَوفُوا بِبَيعَةِ الأَوَّلِ فالأَوَّلِ، ثُمَّ أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، ‌وَاسْأَلُوا ‌اللَّه ‌الَّذِي ‌لَكُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ.
Sabda Rasulullah SAW: “Tunaikan baiah kepada yang awal dan kemudian yang berikutnya. Tunaikan kewajipan yang menjadi hak mereka. Dan pohon kepada Allah agar ditunaikan hak kamu. Allah akan bertanyakan mereka akan segala kewajipan yang diwajibkan kepada mereka (pada Hari Kiamat nanti).” (Riwayat al-Bukhari 3455 dan Muslim 1842)

Rasulullah SAW juga bersabda:
‌مَنْ ‌مَاتَ ‌وَلَيْسَ ‌لَهُ ‌إِمَامٌ مَاتَ ‌مِيتَةً جَاهِلِيَّةً.
“Sesiapa yang mati tanpa baiah kepada pemimpin, nescaya mereka itu mati laksana dalam keadaan jahiliah.” (Riwayat Ahmad no. 16876, al-Tabrani no. 769 dan lain-lain)

Allah SWT menegaskan tentang dasar, konsep dan hala tuju amanah negara tersebut. Hal ini dinyatakan melalui firman-Nya:
إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia hendaklah kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), dan Ulil Amri (ulama’ dan pemimpin) antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Hal yang demikian, itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Prinsipnya ialah beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat. Hukum al-Quran dan Sunnah ialah hukum yang paling tinggi, serta adil kepada seluruh manusia yang bermasyarakat majmuk.

Demikianlah betapa besar dan beratnya tugas memikul amanah dalam memilih kerajaan dan ketua negara yang tidak boleh dipandang remeh sewenang-wenangnya.

Rasulullah SAW menolak tawaran untuk ditabalkan menjadi raja atau dilantik menjadi pemimpin tanpa mendaulatkan Islam yang berkuasa dan memerintah negara. Sehinggakan, mewajibkan hijrah dan baiah setelah datangnya penduduk Madinah yang memeluk Islam dan menegakkannya dalam sebuah negara yang ditubuhkan.

Betapa besarnya kewajipan memimpin negara, sehingga Rasulullah SAW mendahulukan keutamaannya daripada menunaikan haji dan umrah. Hal ini berlaku apabila Baginda SAW menangguhkannya ketika perjanjian Hudaibiyyah, walaupun telah berihram dan terpaksa bertahalul untuk membuang pakaian ihram. Kemudiannya, pelaksanaan haji ditangguhkan sehingga selepas berlakunya Fathu Makkah.

Para sahabat RA juga meninggalkan urusan pengebumian jenazah Rasulullah SAW kerana menghadiri perhimpunan untuk memilih seorang khalifah sebagai ketua negara.
Walaupun perkara tersebut termasuk dalam perkara fardu kifayah, tetapi perkara fardu ‘ain wajib ditangguhkan kerana luas masanya yang dinamakan sebagai wajib muwassa‘.

Demikianlah, kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT sehingga Hari Kiamat. Firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ٩
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama, meskipun orang Musyrik membenci.” (Surah al-Saff: 9)

Allah SWT menjadikan perkara memilih dan mengikut kepimpinan adalah suatu perkara yang sangat penting ketika himpunan untuk dihisab amalan pada Hari Kiamat di Padang Mahsyar kelak. Perkara ini disebutkan oleh firman-Nya:
يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا٧٢
“(Ingatlah) suatu hari (yang pada hari itu) Kami panggil tiap-tiap umat dengan pemimpinnya; dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun. (71); Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) dia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” (Surah al-Isra’: 71-72)

Allah SWT memberi suatu amaran keras terhadap kaum atau bangsa yang meninggalkan kewajipan bagi memenangkan Islam supaya berkuasa. Hal ini sebagaimana firman-Nya:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ٣٨ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡ‍ٔٗاۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٣٩
“Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: ‘Berangkatlah (untuk berjuang) pada jalan Allah (bagi memenangkan Islam)’, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal keni‘matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (38); Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan digantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah itu Maha Kuasa atas segala sesuatu. (39)” (Surah al-Tawbah: 38-39)

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menjadi ujian kepada kita, apabila kalangan bukan Islam yang keluar mengundi mencecah sehingga 98 peratus. Mereka balik dari seluruh pelosok negara dan dunia dari jauh, kerana semata-mata mengundi untuk memenangkan DAP yang menjadi wadah mereka untuk mendapatkan kuasa politik berserta parti-parti di bawah ketiaknya dan calon-calon yang bersamanya.

Adapun jumlah orang Islam yang keluar mengundi hanya 68 peratus kerana mereka menyangka ia tidak wajib dan tidak penting. Bahkan, ada yang mengerjakan umrah sunat dengan meninggalkan perkara yang wajib, walaupun perkara yang wajib itu hendaklah ditangguhkan kerana ia merupakan wajib muwassa‘ (yang boleh ditangguhkan).

Kalau wanita kematian suami yang masih dalam idahnya, wajib menjaga idahnya kerana kewajipan peribadi, maka haji yang wajib juga hendaklah ditangguhkan. Adapun kewajipan memberi kuasa politik Islam merupakan kewajipan yang paling besar untuk memelihara kedaulatan agama, tanah air dan umat seluruhnya.

Imam al-Ghazali RH pernah menegaskan:
‌الدِّينُ ‌أَسٌّ، ‌وَالسُّلْطَانُ ‌حَارِسٌ، وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.
“Agama itu asas, kuasa politik itu pula yang mengawasinya. Sekiranya tiada asas, maka ia akan runtuh; dan jika tiada pengawas, maka ia akan hilang.” (Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, ms. 128)

Al-Quran memaparkan cerita berkenaan kaum Bani Isra’il yang paling dimurkai Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:
وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦ يَٰقَوۡمِ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَعَلَ فِيكُمۡ أَنۢبِيَآءَ وَجَعَلَكُم مُّلُوكٗا وَءَاتَىٰكُم مَّا لَمۡ يُؤۡتِ أَحَدٗا مِّنَ ٱلۡعَٰلَمِينَ٢٠ يَٰقَوۡمِ ٱدۡخُلُواْ ٱلۡأَرۡضَ ٱلۡمُقَدَّسَةَ ٱلَّتِي كَتَبَ ٱللَّهُ لَكُمۡ وَلَا تَرۡتَدُّواْ عَلَىٰٓ أَدۡبَارِكُمۡ فَتَنقَلِبُواْ خَٰسِرِينَ٢١ قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّ فِيهَا قَوۡمٗا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَا حَتَّىٰ يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِن يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِنَّا دَٰخِلُونَ٢٢ قَالَ رَجُلَانِ مِنَ ٱلَّذِينَ يَخَافُونَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِمَا ٱدۡخُلُواْ عَلَيۡهِمُ ٱلۡبَابَ فَإِذَا دَخَلۡتُمُوهُ فَإِنَّكُمۡ غَٰلِبُونَۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ٢٣ قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَآ أَبَدٗا مَّا دَامُواْ فِيهَا فَٱذۡهَبۡ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَٰتِلَآ إِنَّا هَٰهُنَا قَٰعِدُونَ٢٤ قَالَ رَبِّ إِنِّي لَآ أَمۡلِكُ إِلَّا نَفۡسِي وَأَخِيۖ فَٱفۡرُقۡ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ٢٥ قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيۡهِمۡۛ أَرۡبَعِينَ سَنَةٗۛ يَتِيهُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ فَلَا تَأۡسَ عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ٢٦
“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: ‘Wahai kaumku! Ingatlah ni‘mat Allah ke atasmu ketika Dia mengangkat nabi-nabi dan raja-raja antaramu, dan dijadikan-Nya kamu orang-orang merdeka, dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun antara umat-umat yang lain.’ (20); ‘Wahai kaumku! Masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang rugi.’ (21); Mereka berkata: ‘Wahai Musa! Sesungguhnya, dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar daripadanya. Jika mereka keluar daripadanya, pasti kami akan memasukinya.’ (22); Berkatalah dua orang antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah berikan ni‘mat ke atas kedua-duanya: ‘Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka apabila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.’ (23); Mereka berkata: ‘Wahai Musa! Kami sekali-kali tidak akan memasukinya buat selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya, oleh itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini sahaja.’ (24); Berkata Musa: ‘Wahai Tuhanku! Aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Oleh itu, pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasiq itu.’ (25); Allah berfirman: ‘(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan ke atas mereka selama 40 tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar dalam kebingungan sesat di bumi (padang pasir) itu. Maka, janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasiq itu.’ (26)” (Surah al-Ma’idah: 20-26)

Allah SWT memberikan kemenangan kepada bangsa Yahudi setelah ramai daripada kalangan generasi pengecut yang hanya membaca kitab Taurat dimatikan selepas mereka disesatkan selama 40 tahun. Seterusnya, lahir generasi baharu yang bersemangat meneruskan perjuangan.

Syabas kepada pengundi muda yang telah menunaikan kewajipan. Adapun bagi generasi tua daripada saluran satu yang masih ada, walaupun kuat beribadat, menunaikan umrah dan mengaji al-Quran, Allah SWT memberikan suatu contoh Bani Isra’il dengan firman-Nya:
مَثَلُ ٱلَّذِينَ حُمِّلُواْ ٱلتَّوۡرَىٰةَ ثُمَّ لَمۡ يَحۡمِلُوهَا كَمَثَلِ ٱلۡحِمَارِ يَحۡمِلُ أَسۡفَارَۢاۚ بِئۡسَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ٥ قُلۡ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ هَادُوٓاْ إِن زَعَمۡتُمۡ أَنَّكُمۡ أَوۡلِيَآءُ لِلَّهِ مِن دُونِ ٱلنَّاسِ فَتَمَنَّوُاْ ٱلۡمَوۡتَ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ٦ وَلَا يَتَمَنَّوۡنَهُۥٓ أَبَدَۢا بِمَا قَدَّمَتۡ أَيۡدِيهِمۡۚ وَٱللَّهُ عَلِيمُۢ بِٱلظَّٰلِمِينَ٧ قُلۡ إِنَّ ٱلۡمَوۡتَ ٱلَّذِي تَفِرُّونَ مِنۡهُ فَإِنَّهُۥ مُلَٰقِيكُمۡۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ٨
“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya kitab suci Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya (menunaikan amanahnya) adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. (5); Katakanlah: ‘Wahai orang-orang yang menganut agama Yahudi! Jika kamu mendakwa bahawa sesungguhnya kamu sahajalah wali-wali (kekasih Allah) bukan manusia-manusia yang lain, maka harapkanlah kematianmu, jika kamu itulah orang-orang yang benar.’ (6); Mereka tiada akan mengharapkan kematian itu selama-lamanya disebabkan kejahatan yang telah mereka lakukan dengan tangan mereka sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim. (7); Katakanlah: ‘Sesungguhnya, kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemuimu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.’ (8)” (Surah al-Jumu‘ah: 5-8)

Bani Israel adalah kalangan yang dimurkai oleh Allah SWT yang diminta agar dijauhkan daripadanya dan tidak menjadi sepertinya, sehingga terus diulang-ulang dalam doa yang dipohonkan dalam bacaan al-Fatihah.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 20 Jumadal Ula 1444 / 15 Disember 2022

[Bil: 69 / 2022]