Banjir: Fokus Kepada ‘Gelombang Kedua’

221

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang pertama yang berlaku sejak 7hb Disember lalu tamat hari ini dan seluruh warga Terengganu diminta fokus bagi menghadapi gelombang kedua.

Pengerusi Khidmat Malaysia Terengganu, YB Haji Hanafiah Mat berkata, bencana kali kedua itu dijangka berlaku bermula 17hb Disember ini.

“gelombang yang pertama dah selesai dan semua yang terjejas banjir telah pulang ke rumah masing-masing, sekarang kita bercakap tentang gelombang kedua pula,

“ramalan kelembapan atau kelebatan hujan dijangka hujan akan turun di negeri ini, khususnya daerah Kemaman melebihi 300mm,” ujar beliau dalam satu kenyataan video hari ini.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata, jangkaan hujan lebat itu akan akan menyebabkan banjir besar di seluruh Kemaman.

Bagaimana pun menurut beliau, ia hanya satu ramalan dan menyeru semua pihak agar memohon kesejahteraan daripada Allah, semoga selamat daripada sebarang malapetaka.

“kita pakat berdoa kepada Allah semoga ia hanya satu jangkaan dan mohin angin membawa hujan kepada lautan,” tambah beliau.