1MDB; SPRM Baru Mula Siasatan, Pejabat Najib Sudah Buat Kesimpulan?

1466

Pendedahan yang dibuat oleh akhbar Wall Street Journal yang bertarikh 2 Julai 2015, yang mengaitkan perpindahan wang 1MDB ke akaun peribadi PM Dato’ Seri Najib Razak sebanyak USD 700 juta (RM 2.67 billion) adalah suatu mengejutkan banyak pihak.

Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan berkata dakwaan ini sangat serius kerana ia melibatkan imej negara, lebih-lebih lagi Malaysia yang diuar-uarkan sebagai negara Islam contoh.

“Tindakan memindahkan wang negara ke dalam akaun peribadi seorang Perdana Menteri adalah bukti ketirisan dan penyelewengan,”ujarnya.

Oleh itu, Nasruddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh, menggesa Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak wajib menjawab segala dakwaan ini bagi membersihkan imej negara.

“Sekiranya dakwaan ini tidak benar, beliau dicabar untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Wall Street Journal,”tegas Nasruddin.

Disamping menolak dakwaan tersebut Najib menghalakan tuduhan beliau keatas isu terbaru membabitkan 1MDB itu adalah gara-gara bekas ketuanya yang juga mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Najib dalam satu kenyataan di akaun Facebooknya pada malam Jumaat berkata, mengenai dakwaan terbaharu itu, beliau percaya percaya bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan di sebalik pembohongan itu bersama-sama dengan pihak asing termasuk blog Sarawak Report yang kini diragui kredibilitinya.

“Biar saya perjelaskan bahawa saya tidak pernah mengambil dana untuk kepentingan peribadi seperti yang didakwa oleh musuh-musuh politik saya, sama ada (dana) daripada 1MDB (1Malaysia Development Berhad), SRC International atau entiti yang lain, seperti yang disahkan oleh syarikat terbabit.

“Adalah jelas dakwaan palsu ni hanyalah sebahagian daripada kempen terancang sabotaj politik untuk menyingkirkan perdana menteri yang dipilih secara demokrasi.

“Mereka yang membuat dakwaan itu tidak pernah mengetengahkan sebarang bukti. Apa yang kita dengar dakwaan itu hanyalah berasaskan pembocoran dokumen dan penyiasat yang tidak bernama,” katanya.

Minggu lepas, akhbar Australia mendakwa terdapat unsur pecah amanah dan penyelewengan dalam pembelian hartanah oleh MARA di negara itu.

Sebaliknya, sebelum membuat penyiasatan terperinci, polis Malaysia membuat rumusan bahawa mereka mendapati tiada unsur pecah amanah (CBT) dalam pembelian sebuah apartmen oleh MARA di Australia.

Tetapi peliknya, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata keseluruhan siasatan akan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami tidak nampak ada unsur CBT dalam perkara ini, jadi pihak SPRM akan jalankan siasatan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman pada 29 Jun.

Laporan akhbar Australia, The Age, mendakwa Mara Inc terlebih bayar RM13.7 juta untuk pembelian sebuah kompleks apartmen di Melbourne, dan mendakwa wang perbezaan itu dijadikan rasuah di tanah air.

Minggu sebelumnya polis Australia menyerbu sebuah rumah di Melbourne sebagai sebahagian daripada operasi untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Disebalik penafian polis dan kerajaan Malaysia itu, tiba-tiba, Majlis MARA setelah mengambilkira fakta awalan kes ini, mengambil keputusan untuk merehatkan sementara dua (2) pegawai kanan sepanjang siasatan berjalan iaitu:
1. Pengerusi MARA Incorporated Sdn. Bhd.
2. Ketua Pegawai Eksekutif MARA Incorporated Sdn. Bhd.

Sekiranya, tiada apa yang berlaku mengapa Majlis MARA menggantung dua orang pegawai tingginya.

Maka sekarang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pula telah memulakan siasatan terhadap bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd berhubung pelaburannya.

Laporan Wall Street Journal pada Jumaat mendakwa sejumlah wang disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari SRC International, sebuah syarikat tenaga yang pada awalnya di bawah 1MDB tetapi kemudiannya dipindahkan ke Kementerian Kewangan pada 2012.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Mohd Shukri Abdull dalam satu kenyataan berkata, suruhanjaya itu telah membuat penelitian terhadap isu dan mendapati ia dibawah bidang kuasa SPRM.

“Susulan semakan yang dijalakan, didapati terdapat asas untuk SPRM memulakan siasatan di bawah Akta SPRM 2009, dan sehubungan itu, satu penyiasatan telah dimulakan.

“Sejajar dengan peruntukan undang-undang, SPRM akan mengendalikan siasatan bebas dan profesional serta menyeluruh,” kata Shukri.

Namun bagaimana pula SPRM baru memulakan penyiasatan, Pejabat Perdana Menteri sudah berkata, tuduhan kononnya kira-kira RM2.6 bilion telah disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib merupakan sabotaj politik yang berterusan.

Justeru, Ustaz Nasruddin berkata, satu persatu penyelewengan dan ketirisan didedahkan sepanjang pemerintahan UMNO dan BN.

“ia menandakan kegagalan Parti pemerintah menerajui negara, sudah hampir ke penghujungnya. Semua slogan cekap, efisyen , transformasi dan sebagainya adalah laungan palsu dan penuh dengan penipuan,”tambahnya