Sejak kebelakangan ini, kita melihat pelbagai isu sensitif yang timbul dalam masyarakat berkaitan hubungan antara kaum dan agama di Malaysia. Isu-isu ini sering mencetuskan polemik di media sosial, perbahasan politik, dan perbincangan awam yang kadangkala boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
Sebagai sebuah negara yang dibina atas asas kepelbagaian kaum, agama dan budaya, perpaduan nasional adalah asas kepada kestabilan dan kemajuan negara. Oleh itu, semua pihak perlu berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengendalikan isu-isu yang sensitif agar ia tidak menjejaskan keharmonian yang telah dibina sekian lama.
Prinsip yang mesti menjadi panduan dalam menangani isu-isu ini ialah keadilan, kedaulatan undang-undang dan penghormatan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan Persekutuan telah dengan jelas menggariskan kerangka kehidupan bersama rakyat Malaysia. Ia mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, menjamin kebebasan beragama, memelihara hak-hak kaum lain, serta menetapkan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu, hak istimewa Melayu dan Bumiputera, serta hak sah kaum-kaum lain.
Inilah asas kontrak sosial dan keseimbangan nasional yang telah memungkinkan Malaysia kekal aman dan stabil sejak merdeka.
Oleh itu, dalam menangani sebarang pertikaian atau isu sensitif, semua pihak perlu kembali kepada kerangka ini. Tidak wajar sesuatu isu disensasikan sehingga mencetuskan emosi perkauman atau keagamaan tanpa merujuk kepada kedudukan sebenar dari sudut undang-undang dan Perlembagaan.
Pada masa yang sama, undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan konsisten tanpa mengira latar belakang kaum atau agama mana-mana pihak. Ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang adalah penting supaya tidak wujud persepsi bahawa ada pihak yang dilayan secara berbeza.
Jika undang-undang dihormati dan dilaksanakan dengan adil, banyak polemik yang timbul sebenarnya boleh diselesaikan dengan lebih tenang dan rasional.
Saya juga ingin mengingatkan bahawa dalam era media sosial hari ini, penyebaran kenyataan yang tidak tepat, provokatif atau bersifat menghasut hanya akan mengeruhkan keadaan. Semua pihak — termasuk pemimpin politik, aktivis, media dan pengguna media sosial — perlu bertanggungjawab dalam memastikan perbincangan awam dilakukan secara matang dan berfakta.
Malaysia tidak boleh maju jika rakyatnya terus dipolarisasikan oleh isu-isu sensitif yang dimanipulasi untuk kepentingan sempit.
Sebaliknya, kita perlu kembali kepada semangat keadilan, saling menghormati dan kepatuhan kepada Perlembagaan sebagai asas kehidupan bernegara.
Perpaduan bukan sekadar slogan. Ia adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia.
Saya menyeru agar semua pihak mengendalikan setiap isu dengan kebijaksanaan, menghormati undang-undang dan sentiasa meletakkan kepentingan keharmonian negara sebagai keutamaan.
Datuk Ahmad Amzad Hashim
Ahli Jawatankuasa AS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
11 Mac 2026



























