Diesel, ‘Bom Jangka’ Inflasi Madani

166

Oleh: Syahir Sulaiman

Keputusan kerajaan melaras kenaikan harga diesel telah mendedahkan ekonomi negara kepada risiko ‘bom jangka’ inflasi serta tekanan kos yang lebih meluas.

Terdahulu, saya telah menyatakan bahawa konflik di Asia Barat yang tercetus pada 28 Februari lalu berpotensi memberi tekanan kepada ekonomi global melalui kenaikan harga bahan api, khususnya petroleum, di samping gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos logistik dan pengangkutan.

Malaysia tidak terkecuali daripada tempias ‘bahang’ konflik tersebut, yang kini mula menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi dan kestabilan harga pasaran, termasuk kepada isi rumah dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Namun setelah hampir empat minggu konflik tercetus, kerajaan dilihat masih samar dalam menilai impak ekonomi secara menyeluruh, tanpa petunjuk yang jelas berhubung langkah mitigasi bagi menyerap kesan krisis tenaga global ini.

Dalam hal ini, kerajaan digesa segera menggariskan langkah mitigasi yang lebih konkrit dalam kerangka “3M”, iaitu menyerap kejutan, melindungi rakyat, seterusnya memperkasa ekonomi negara.

Pertama, menyerap kejutan melalui mekanisme penstabil harga yang lebih dinamik, termasuk pengurusan subsidi yang fleksibel serta pelepasan stok makanan dan rizab tenaga secara strategik.

Kedua, melindungi rakyat dan PMKS daripada tekanan kos melalui bantuan bersasar, insentif sokongan serta peranan aktif institusi kewangan, sebagaimana pendekatan semasa pandemik.

Ketiga, memperkasa daya tahan ekonomi domestik melalui pengukuhan rantaian bekalan, keterjaminan makanan dan tenaga, serta sokongan berterusan kepada sektor PMKS.

Dalam masa yang sama, langkah menangani tekanan fiskal tidak boleh dilakukan dengan memindahkan beban kepada rakyat, sama ada melalui pelarasan harga atau mekanisme silang-subsidi yang tidak telus.

Justeru, kenaikan berterusan harga diesel hari ini berisiko mencetuskan rebakan inflasi yang lebih luas, dan akhirnya menjejaskan kesejahteraan ekonomi rakyat secara keseluruhan.

Jika tidak ditangani dengan segera dan strategik, ‘bom jangka’ ini akan menjadi beban yang ditanggung oleh rakyat dan negara.

Syahir Sulaiman
Ahli Parlimen Bachok
25 Mac 2026