Umat lemah dan hina kerana meninggalkan Islam

1518

MARANG – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata orang Islam akan menjadi lemah dan hina apabila meninggalkan ajaran Islam kerana kekuatan umat dan kemuliaannya terletak kepada Islam.

Beliau turut memetik ucapan Saidina Omar al-Khattab, “Kita adalah umat yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain dari Islam, kita menerima hukuman penghinaan dan menjadi bangsa yang hina. Percayalah, kita tidak boleh bangkit melainkan dengan Islam”.

Kata Ustaz Abdul Hadi, pada masa yang sama orang Islam sendiri telah meninggalkan ajaran Islam walau pun ‘berpegang’ dengan ajaran Islam.

“Kita (umat Islam) berada dalam keadaan yang sangat menyulitkan, bukan sahaja menyulitkan untuk diri kita bahkan menyulitkan untuk menyelamatkan manusia seluruhnya.

“Kita menghadapi cabaran yang hebat apabila musuh-musuh Islam sengaja tidak mengizinkan orang Islam memimpin dunia semula. Mereka (musuh) buat macam-macam terutamanya apabila mereka tahu Islam adalah asas kekuatan orang Islam.

mdq ihtifal“Al-Quran adalah punca ilmu orang Islam. Mereka (musuh) melakukan pelbagai-bagai cara untuk melemahkan orang Islam dalam ilmu agama mereka sendiri. Di Turki, di Indonesia, di beberapa negara Afrika mereka melemahkan orang Islam dalam bahasa Arab, mereka menghilangkan tulisan Arab. Mereka berjaya di Indonesia, mereka berjaya di Turki dan mereka melemahkan di negeri kita ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ihtifal Idul Ilmi Ma’ahad Darul Quran (MDQ) Kali ke-22 tahun 2013, di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang hari ini.

Dato’ Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan ilmu al-Quran perlu dihidupkan semula dan dikaji melalui bahasanya iaitu bahasa Arab.

Katanya, tanggungjawab mengembalikan semula kepada ilmu al-Quran merupakan suatu kewajipan yang sangat besar kepada umat Islam.

“Tanggungjawab kita untuk mengembalikan semula kepada ilmu al-Quran suatu kewajipan yang sangat besar. Oleh kerana, kita tidak mendapat sokongan dan dokongan dari kerajaan-kerajaan yang memerintah.

“Maka terpaksalah parti-parti Islam dan kumpulan Islam di seluruh dunia menubuhkan madrasah-madrasah, menubuhkan ma’ahad, menubuhkan ‘Universiti’…pusat pengajian tinggi dan pelbagai pusat pengajian pondok, pesantren dan lain-lain lagi.

“Semua tujuannya untuk mempertahankan ilmu Islam dan mengajak semula generasi yang ada supaya menggali ilmu Islam ini untuk mengembalikan semula kekuatan umat kerana kekuatan umat dan kemuliaannya terletak kepada Islam,” tegasnya.

Justeru, kata Ustaz Abdul Hadi, pernah dalam sejarah Islam apabila orang-orang Arab meninggalkan ilmu Islam akan diganti ahli-ahli ilmu Islam di kalangan orang yang bukan Arab.

“Imam Bukhari, Imam Muslim bukan orang Arab. Bila orang Kurdis meninggalkan Islam, Allah Ta’ala tukar dengan orang Turki. Turki meninggalkan Islam, agama Islam tidak akan mati.

“Percayalah, jika kita orang Melayu meninggalkan Islam…Islam tidak mati tapi yang punahnya kita orang Melayu. Macam Arab juga yang punahnya orang Arab bila meninggalkan Islam.

“Islam tetap dipelihara oleh Allah SWT, walau pun Islam ini dipinggirkan, dipandang hina, direndah, diperlekeh. Allah Ta’ala tetap akan memelihara kemuliaan Islam ini sehingga hari kiamat.

“Kita bersyukur kepada Allah SWT yang telah mengurniakan kepada kita nikmat Islam. Satu-satunya ajaran yang diakui oleh Allah SWT dan yang lain dari Islam ditolak, tidak diterima di dunia dan di akhirat.

“Di dunia tidak mendapat berkat, celaka dan di akhirat mendapat bencana dan neraka. Hanya mereka (manusia) yang bersama dengan Islam sahaja dan Allah Ta’ala memelihara Islam dengan mukjizat ilmu dari al-Quran,” ujarnya.

Tambah beliau, manusia yang tidak diIslamkan ilmunya akan mengalami keruntuhan meski pun berjaya mencipta pelbagai alat seperti tenaga elektrik, tenaga atom, nuklear, komputer dan sebagainya.

Pada majalis tersebut Dato’ Seri Abdul Hadi turut menyampaikan sijil dan anugerah kepada hampir para pelajar MDQ yang cemerlang.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengetua MDQ, Ustaz Yassin Salleh, Pengerusi Majlis Ibubapa dan Guru MDQ, Ustaz Ismail Osman dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.