Perkukuh Jentera Perteguh Kerajaan Negeri Menuju Putrajaya

27
Ustaz Zul Bhari Ab Rahman

SETIU – Gerak kerja parti ketika ini bukan sahaja tertumpu kepada memperteguhkan kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu tetapi menuju matlamat lebih besar, memastikan pentadbiran negara diterajui PAS.

Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Ustaz Zul Bhari Ab Rahman berkata, setiap ahli parti perlu memainkan peranan sebagai pendokong gerakan yang disifatkan sebagai “penolong agama Allah” dengan memperkukuh organisasi di semua peringkat, khususnya di cawangan dan akar umbi.

Menurut beliau, elemen perpaduan dalam kalangan ahli merupakan asas kekuatan utama perjuangan politik dan perlu diperkukuh secara berterusan berlandaskan prinsip agama.

“Dalam masa sama, mengingatkan jentera parti agar mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya umum akan datang, termasuk kemungkinan ia diadakan lebih awal, selain memperkemaskan gerak kerja organisasi, tarbiah dan program lapangan.

“Antara aktiviti yang ditekankan termasuk program mingguan bacaan Yasin, ziarah rumah ke rumah serta penglibatan aktif sayap Muslimat sebagai pendekatan mendekati masyarakat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketka berucap dalam program Mesyuarat Agung Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu kali ke 43 di Kompleks Tarbiyyah Luqmanul Hakim, Guntong Luar, semalam.

Ustaz Zul Bhari turut mendakwa sokongan terhadap parti semakin meningkat di peringkat akar umbi, sekali gus mendorong jentera untuk mempergiat usaha penerangan dan gerak kerja.

“Jadi kita harap muslimat mesti bersedia ke arah menjadi orang panggil menjadi ‘Abnaul Al- Harakah, Amilin, menjadi pekerja kepada sebuah kerajaan besar,’ tambah beliau.

Dalam pada itu, Zul Bhari menasihatkan ahli parti agar tidak terpengaruh dengan ramalan tidak rasmi berkaitan tarikh pilihan raya, sebaliknya memberi tumpuan kepada persediaan organisasi secara berterusan.