DUNGUN – Kenaikan dan perluaskan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerajaan Madani bukan sahaja membebankan malah menjejaskan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.
Ketua Muslimat PAS Dungun, Khairiah Mokti menjelaskan akibat kenaikan kadar SST daripada 6% kepada 8% akan memberi kesan kepada kos sara hidup, khususnya harga barangan dan perkhidmatan harian yang digunakan oleh rakyat.
“Kesan ini menyebabkan ramai ibu bapa terpaksa mengurangkan perbelanjaan keperluan tambahan seperti makanan berkhasiat dan aktiviti pendidikan anak.
“Tekanan kewangan yang dialami turut membawa kesan psikologi seperti kebimbangan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa kerana tidak dapat memenuhi keperluan keluarga dengan sempurna,” jelasnya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya lagi, wanita, khususnya ibu tunggal yang memikul tanggungjawab membesarkan anak tanpa sokongan pasangan, menghadapi cabaran yang lebih besar.
“Kenaikan SST menyebabkan perkhidmatan penting seperti penjagaan anak, pengangkutan dan rawatan kesihatan menjadi lebih mahal.
“Sebagai contoh, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai penjaja kecil-kecilan terpaksa bekerja lebih masa untuk menampung kos hidup yang meningkat, malah terpaksa mengurangkan perbelanjaan untuk keperluan asas anaknya seperti susu formula dan lampin,” katanya.
Katanya, ini bukan sahaja memberi tekanan kewangan, tetapi juga menimbulkan keletihan fizikal dan emosi kerana kekurangan masa dan tenaga untuk menjaga anak dengan sempurna.
“Dalam jangka masa panjang, tekanan ini boleh menjejaskan kesejahteraan dan kualiti hidup ibu tunggal tersebut dan anak-anaknya.” ujarnya.
Manakala, tambahnya lagi, warga emas atau orang pencen yang hidup dengan pendapatan tetap seperti pencen dan simpanan KWSP juga tidak terkecuali daripada kesan SST.
“Golongan ini biasanya bergantung kepada perkhidmatan kesihatan awam atau swasta dan kos pengangkutan yang kini turut meningkat akibat SST yang lebih tinggi.
“Sebagai contoh, seorang pesara yang memerlukan ubat-ubatan harian mungkin terpaksa menangguhkan pembelian kerana harga ubat naik.
” Keadaan ini menyebabkan mereka kurang mendapat rawatan kesihatan yang sewajarnya dan malah ada yang terpaksa mengurangkan pembelian barangan keperluan asas, sekaligus menjejaskan kualiti hidup.
“Secara peribadi, keadaan ini menimbulkan perasaan terasing, kecewa dan tidak dihargai oleh masyarakat,” terangnya lagi.
Oleh itu ujarnya kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dengan menyediakan bantuan bersasar seperti subsidi, bantuan tunai, dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial agar rakyat tidak terbeban dan kehidupan mereka lebih terjamin


























