KUALA TERENGGANU – Kadar air tidak berhasil atau Non-Revenue Water (NRW) di Terengganu terus mencatatkan peningkatan membimbangkan apabila melonjak kepada 41.32% setakat April 2025, berbanding 40.22% pada tahun 2024, meskipun pelbagai usaha telah digerakkan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd.(SATU).
Penolong Setiausaha PAS Terengganu, YB Dato’ Haji Hanafiah Mat berkata, peningkatan sebanyak 1.12% itu mencerminkan cabaran besar yang masih belum dapat diatasi oleh SATU dan Kerajaan Negeri dalam usaha menangani isu kebocoran dan kehilangan air bersih.
“Daerah yang mencatat kadar NRW tertinggi ialah Hulu Terengganu (47.76%), diikuti Kuala Terengganu dan Kuala Nerus (46.49%) serta Setiu (45.08%),” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar, berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dari ADUN Seberang Takir dalam Sidang DUN Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Ke-15, di Dewan Undangan Negeri, pada hari ini.
Menurutnya, walaupun Kerajaan Negeri melalui Jabatan Bekalan Air (JBA) telah memperuntukkan bajet tahunan menerusi Vot P33 untuk pengurangan NRW, empat projek utama penggantian paip bagi tahun 2025 masih belum dimulakan, termasuk di kawasan kritikal seperti Hulu Terengganu dan Besut.
“Projek-projek berkenaan ialah penukaran paip lama di Kampung. Tengkawang, Hulu Terengganu, penukaran paip air lama dari Simpang LRA Bukit Bunga ke Jambatan Sungai Angga, Besut, penukaran paip lama Kg. Gerdong, Hulu Terengganu dan penukaran paip air lama di Kampung. Jak, Taman Kenanga, Taman SEDC dan Taman Sri Berang, Hulu Terengganu,” jelasnya.
Beliau menambah, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh SATU termasuk pemasangan sistem pemantauan District Meter Zone (DMZ), penambahbaikan pengurusan pembaikan paip menerusi Work Order Repair Management System (WORMS), program penukaran meter lama, kawalan tekanan air serta penggantian paip jenis asbestos cement (AC) yang kerap bocor.
Namun katanya, perkembangan semasa menunjukkan bahawa keberkesanan usaha tersebut masih perlu dipertingkat, terutamanya dari segi pemantauan, pelaksanaan projek fizikal serta penyelenggaraan berkala.
Sehubungan dengan itu, pihak Kerajaan Negeri dijangka akan meneliti semula pelaksanaan projek pengurangan NRW agar sasaran jangka panjang dapat dicapai bagi menjamin bekalan air mampan dan berkualiti kepada rakyat Terengganu.





























