

Kajian kendalian firma bebas Merdeka Center baru-baru ini menunjukkan 39 peratus daripada 504 responden menuding jari ke arah BN dan Umno ekoran pendedahan video tersebut dua minggu lalu.
Walaupun begitu, ramai juga yang sangsi dengan kemungkinan itu, memandangkan 38 peratus mengatakan mereka tidak tahu.
Hanya 18 peratus dengan tegas mengatakan BN tidak terlibat dalam kontroversi itu yang menunjukkan seorang lelaki, didakwa pemimpin kanan Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan hubungan seks dengan pelacur asing.
Hasil kajian yang diperoleh laman berita The Malaysian Insider kelmarin, dikendalikan antara 24 dengan 27 Mac lalu.
Daripada 504 responden yang ditemui, 85 peratus sedar kewujudan video itu manakala 15 peratus mengatakan mereka tidak tahu.
‘Ada banyak ruang kabur (dalam pandangan) di kalangan orang ramai, kemungkinan disebabkan ketidakpastian, sesetengah (pula masih) teragak-agak atau memang kurang maklumat apabila bercakap mengenai Anwar, memandangkan kebanyakan maklumat yang ada mengenai beliau adalah (condong kepada) satu pihak dan negatif,’ kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Encik Ibrahim Suffian, mengenai hasil kajian itu.
Datuk Seri Anwar sebelum ini menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan polis terbabit dalam pendedahan rakaman video seks itu.
Minggu lalu, Datuk Seri Hishammuddin berkata beliau akan memfailkan saman terhadap Datuk Seri Anwar yang mengaitkan beliau.
Selain Tan Sri Abdul Rahim, dua ‘Datuk T’ yang lain ialah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim.
Ketiga-tiga mereka merupakan ahli politik dan perniagaan terkenal dalam lingkungan BN-Umno ketika era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.-Cyberita





























