Oleh : MNA
KUALA TERENGGANU – Cadangan wakil Paka, YB Ustaz Satiful Bahri Mamat untuk kerajaan negeri menjamin peluang pekerjaan kepada majoriti anak Terengganu bagi semua pengusaha kilang yang dijalankan di negeri Terengganu, disambut positif oleh wakil kerajaan.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu menyentuh isu berkenaan syarat nyata dalam geran yang diberikan kepada pengusaha-pengusaha kilang terutama industri yang sepatutnya diletakkan syarat pengambilan peratusan pekerja anak tempatan.
Soalan lisan beliau ialah, apakah syarat nyata dalam geran tanah yang diberikan bagi tapak-tapak loji industri termasuk loji Petronas.
Mengambil contoh syarat kerajaan Negeri Sarawak kepada para pengusaha-pengusaha kilang di tempat mereka yang begitu tegas bagi memberi jaminan pekerjaan kepada anak negeri, patut dicontohi oleh kerajaan Terengganu.


Boleh ke kita letak syarat itu sebelum bagi kelulusan, ataupun pernah dah berlaku mana-mana industri ke loji ke dan sebagainya?,” Ustaz Satiful bertanya dalam soalan tambahan.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat 2016 Dewan Undangan Negeri (Sidang DUN Bajet 2017) selama empat hari, yang bermula hari ini 21 November.
Wakil kerajaan, Tengku Putera Tengku Awang kemudiannya menjelaskan syarat sebegitu tidak termasuk dalam Kanun Tanah Negara.
Ustaz Satiful kemudiannya bangun sekali lagi bagi menekan Tengku Putera dan membuktikan kepada Dewan bahawa telah ada syarat di dalam geran yang diletakkan demikian, dibuat kepada pengusaha-pengusaha kilang yang lebih kecil perusahaan mereka.
Ustaz Satiful mencadangkan agar tanah-tanah industri yang besar keluasannya sepatutnya juga diletakkan syarat nyata dalam geran bagi penetapan peratusan pengambilan pekerja tempatan secara lebih jelas.
Exco Perindustrian dan Perdagangan Negeri itu akhirnya bersetuju dengan cadangan Paka yang beliau sifatkan satu cadangan yang baik dan boleh diambil jika ada keperluan dimasa hadapan.





























