Henti Jadi Sekadar Pembekal Bahan Mentah

43

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu disaran melakukan anjakan paradigma dengan tidak lagi sekadar berpuas hati sebagai pengeksport bahan mentah, sebaliknya beralih kepada pembangunan industri hiliran secara agresif demi menjamin masa depan ekonomi rakyat yang lebih mampan.

Naib Yang Dipertua PAS Kemaman, IR Haji Saiful Azmi Suhaili menegaskan bahawa strategi tersebut amat kritikal bagi mengukuhkan rantaian nilai ekonomi negeri. Menurut beliau, kewujudan ekosistem industri hiliran yang kukuh bukan sahaja akan membuka ribuan peluang pekerjaan berkualiti, malah menjamin kestabilan pendapatan negeri untuk jangka masa panjang.

“Terengganu perlu melakukan anjakan paradigma daripada sekadar pengeksport bahan mentah kepada ‘negeri pembuat’ yang agresif, bagi memastikan kekayaan sumber bumi kita memberikan nilai pulangan ekonomi yang lebih tinggi dan mampan untuk rakyat,” tegas beliau ketika berucap di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan negeri mencontohi model kejayaan Norway dan Sarawak dalam membangunkan industri hiliran, sekali gus memperkasakan sinergi antara Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dan Transformasi Ekonomi Baharu Terengganu (TNEXT) demi melahirkan rantaian nilai yang dikuasai sepenuhnya oleh kepakaran tempatan.

Saiful Azmi menarik perhatian ahli dewan dengan membangkitkan contoh kejayaan luar biasa Norway yang telah membuktikan keupayaan mentransformasikan hasil petroleum kepada dana berdaulat yang gergasi serta penguasaan teknologi tinggi. Beliau turut memuji langkah berani Sarawak yang kini tidak lagi hanya menjual gas asli, tetapi mula menerajui pasaran tenaga hidrogen yang mempunyai nilai pasaran jauh lebih tinggi.

“Kita tidak boleh lagi sekadar menunggu pelabur datang, sebaliknya kerajaan negeri perlu bertindak sebagai ‘fasilitator agresif’ yang berani mencipta peluang dan ‘memaksa keadaan’ demi memastikan sumber bumi Terengganu diolah sepenuhnya oleh kepakaran anak tempatan,” tambah beliau lagi bagi menekankan peri pentingnya perubahan drastik dalam model ekonomi negeri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Pemangku Raja Terengganu Sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saiful Azmi mempersoalkan mengapa Terengganu yang dikurniakan kekayaan sumber asli seperti petrokimia, silika, dan pelbagai galian lain tidak mengambil langkah serupa, sedangkan negeri itu mempunyai segala asas fundamental yang diperlukan untuk berjaya sebagai ‘negeri pembuat’. Beliau menyifatkan TNEXT sebagai pelan induk pembangunan negeri, manakala PuTERA35 bertindak sebagai pemacu di peringkat nasional bagi memudahkan akses kepada dana dan sokongan pusat.

Sebagai langkah praktikal, beliau menyarankan penubuhan sebuah unit khas di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk memetakan setiap projek di bawah TNEXT dengan teras PuTERA35. Usaha ini penting bagi memastikan setiap inisiatif industri hiliran yang dirancang layak mendapat insentif cukai serta geran padanan daripada agensi-agensi kerajaan Persekutuan.

Tegas beliau, transformasi ini bukan sekadar retorik atau teori di atas kertas, tetapi merupakan satu keperluan realiti yang mampu mengubah landskap sosioekonomi wilayah tersebut secara total. Beliau menaruh harapan tinggi agar satu hari nanti Terengganu akan dikenali di persada global sebagai sebuah negeri pengeluar produk bernilai tinggi, sekali gus menamatkan statusnya sebagai sekadar pembekal bahan mentah kepada pihak luar.

Kemasik Mohon Jalan Baharu Ke ECRL

Kerajaan negeri diminta memberi perhatian serius terhadap cadangan pembinaan jalan baharu yang menghubungkan susur keluar Kerteh (LPT2) terus ke stesen ECRL Kemasik bagi mengatasi masalah kesesakan trafik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, YB IR Haji Saiful Azmi Suhaili berkata, laluan sedia ada yang menghubungkan susur keluar tersebut ke jalan persekutuan FT003 kini menjadi laluan utama bagi kenderaan berat dan panjang, yang meningkatkan risiko keselamatan penduduk setempat.

“Laluan di Kampung Baru Kerteh kini sangat sesak dan berbahaya. Saya berharap kerajaan negeri menjadikan projek membina jalan baharu ke stesen ECRL ini sebagai keutamaan dalam senarai projek infrastruktur negeri,” katanya.

Selain isu jalan raya, beliau turut membawa suara usahawan kecil di Kemasik yang memohon pembangunan kawasan industri Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang baharu di kawasan Kerteh.

Cadangan tersebut melibatkan pembinaan bengkel dan ruang perkedaian baharu khusus untuk usahawan tempatan. Beliau menegaskan bahawa sokongan daripada segi prasarana fizikal sangat diperlukan agar usahawan PMKS ini mampu berdaya saing dan terus maju.

“Sokongan daripada institusi teknikal dan kewangan amatlah diharapkan. Usahawan kita memerlukan bengkel dan kilang yang kondusif untuk mereka mengembangkan perniagaan sekali gus menyokong ekonomi negeri,” jelas beliau ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja di Sidang Dewan Undangan Negeri, baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kemaman percaya bahawa dengan adanya kemudahan infrastruktur yang lengkap, aktiviti ekonomi di kawasan Kemasik dan Kerteh akan berkembang lebih rancak, sekali gus membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada penduduk setempat.

Usaha membangunkan usahawan PMKS baharu ini juga dilihat selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperkasakan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh.

Beliau berharap agar semua pihak, sama ada agensi kerajaan mahupun institusi sokongan, dapat memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kedua-dua projek infrastruktur dan ekonomi ini dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat Kemasik.