Isu Sungai Cetek: Kerajaan Terengganu Rangka Solusi Tuntas Bantu Penternak Sangkar

37

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan segera berjumlah RM39,600 bagi meringankan beban 13 penternak ikan sangkar di Kampung Pantai Ali yang terjejas akibat fenomena sungai cetek.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, siasatan Jabatan Perikanan (DOF) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati cuaca panas melampau menjadi punca utama krisis tersebut.

“Punca utama ialah perubahan cuaca panas serta kekurangan hujan di kawasan sekitar daerah Hulu Terengganu, ditambah pula dengan mendapan sungai, telah menyebabkan air sungai menjadi terlalu cetek,” katanya ketika menjawab soalan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini.

Beliau menjelaskan bahawa fenomena itu mengakibatkan kematian kira-kira 4,500 kilogram ikan Tilapia dan Patin melibatkan 70 unit sangkar. Nilai keseluruhan kerugian yang ditanggung oleh para pengusaha terlibat dianggarkan mencecah RM57,500.00.

“Bagi meringankan beban pengusaha, Jabatan Perikanan Malaysia telah meluluskan permohonan di bawah Program Sistem Penyampaian & Khidmat Sokongan (Akuakultur) bagi tahun 2026 sebanyak RM39,600.00,” jelas beliau lagi.

Mengulas mengenai langkah pencegahan, Dato’ Dr. Azman menegaskan satu pelan penyelarasan bersama pelbagai agensi sedang dirangka bagi mencari penyelesaian jangka panjang.

Beliau menambah, “Tindakan bersama telah diambil untuk menyusun penyelarasan khusus bagi merangka solusi tuntas, termasuk memastikan susun atur sangkar yang lebih terancang dengan mengambil kira jajaran aliran dan kapasiti hidraulik sungai.”