KUALA TERENGGANU – Gerak kerja pilihan raya yang digerakkan seawal selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi antara faktor utama keyakinan PAS untuk terus mengekalkan sokongan rakyat di DUN Bandar.
Ketua Penerangan PAS kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Ahmad Shah Mohamed berkata, jentera parti tidak menunggu musim pilihan raya, sebaliknya terus bekerja sejak hari pertama membentuk kerajaan.
Menurut beliau, pendekatan berterusan itu membolehkan hubungan dengan rakyat diperkukuh melalui pelbagai bantuan dan sokongan yang disalurkan.
“Selepas menang PRU15, kita terus bekerja. Kita tidak tunggu setahun atau beberapa bulan sebelum pilihan raya. Jentera kita sentiasa bergerak sebagai kerajaan dan parti,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Bandar berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Bandar, pada 20 April di Dewan PPR Hiliran.


Mengulas kerjasama politik, Ahmad Shah menjelaskan hubungan dalam Perikatan Nasional di Terengganu, khususnya bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berada dalam keadaan kukuh dan harmoni.
Katanya, kerjasama itu menjadi kekuatan utama dalam usaha mempertahankan kerajaan negeri, selain sasaran lebih besar untuk mentadbir negara.
Dalam masa sama, beliau berpandangan kerjasama Umno dengan DAP sukar diterima oleh sebahagian masyarakat Melayu, termasuk akar umbi parti itu sendiri.
“Rakyat khususnya orang Melayu tidak dapat menerima kerjasama tersebut, dan kita lihat ia turut tidak disenangi oleh sebahagian ahli UMNO sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Shah menegaskan pelancaran jentera pilihan raya lebih awal bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya selari dengan pendekatan PAS yang sentiasa mendampingi rakyat tanpa mengira musim.
Katanya, pendekatan itu memudahkan usaha menyantuni rakyat secara konsisten dan mengukuhkan kepercayaan terhadap kepimpinan sedia ada.


Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa sokongan rakyat terhadap PAS di Terengganu, termasuk di DUN Bandar, masih kukuh berdasarkan rekod perkhidmatan dan hubungan erat dengan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua jentera parti agar terus istiqamah dan bekerja keras, meskipun mempunyai rekod kemenangan sebelum ini.
“Jangan leka dengan kemenangan lalu. Teruskan usaha menyantuni rakyat supaya sokongan dapat dikekalkan pada PRU akan datang,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, walaupun kawasan DUN Bandar merupakan pusat ibu kota dengan kemudahan infrastruktur yang sedia ada, namun masih wujud cabaran terutama dari sudut pembangunan tidak seimbang serta keperluan penyelenggaraan berterusan.
Menurutnya, sebagai lokasi tumpuan pelancong ke Kuala Terengganu, aspek infrastruktur perlu sentiasa berada pada tahap terbaik bagi memastikan imej bandar kekal terpelihara.


“Bandar ini menjadi pintu masuk utama pelancong, jadi kita perlu pastikan kemudahan awam sentiasa baik di samping merancakkan ekonomi setempat,” katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan isu kekurangan perumahan yang semakin meruncing berikutan keterbatasan tanah di kawasan bandar.
Katanya, beberapa projek perumahan sedang dirancang melibatkan kawasan sekitar Bandar, Wakaf Mempelam, Batu Buruk dan Ladang bagi memenuhi keperluan penduduk.
Dalam pada itu, beliau mengakui isu kemiskinan masih wujud di kawasan bandar, termasuk golongan yang memerlukan bantuan berterusan.
“Bagi yang berpotensi, kita bantu dari segi perniagaan dan penjanaan pendapatan. Namun ada juga golongan miskin tegar yang memerlukan bantuan secara langsung seperti kewangan dan barangan keperluan,” jelasnya.
Beliau turut mengarahkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) supaya sentiasa memantau golongan memerlukan agar tiada yang tercicir daripada menerima bantuan.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu memerlukan bantuan digalakkan tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.


























