Ahli Sertai Bersih 5; PAS Serah Kepada Jawatankuasa Disiplin

1332

KUALA TERENGGANU – PAS menyerahkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk mengambil tindakan terhadap beberapa wakil rakyat parti itu yang sengaja hadir ke perhimpunan Bersih 5, Sabtu lalu.

Presidennya, Datuo’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia bagaimanapun bergantung kepada aduan daripada mana-mana pihak bagi membolehkan tindakan diambil kepada mereka yang terlibat.

“Terpulang kepada disiplin parti, sehingga ada pengaduan. Kita tidak boleh bertindak kalau tiada pengaduan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

PAS menyatakan pendirian untuk tidak menghadiri Bersih 5 sebagaimana dijadualkan, bagaimanapun, beberapa wakil rakyat PAS dikesan menghadiri himpunan tersebut.

sidamg DUN 211116cUstaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang bagaimanapun melihat sebahagian besar ahli dan penyokong parti itu tetap akur dengan arahan dibuat.

“Alhamdulillah, ahli dan penyokong PAS patuh kepada arahan kerana kalau kita lihat di sana, terdapat tidak ada suatu kawalan yang baik untuk mematuhi ketenteramam awam di mana keamanan ini adalah hak kepada semua,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menggambarkan arahan dibuat PAS supaya tidak hadir ke himpunan Bersih 5 dibuat demi manfaat rakyat.

Jelasnya, demonstrasi merupakan salah satu daripada sistem demokrasi tetapi melihat penganjurannya perlu dilakukan dengan adab yang baik.

“Kita tidak mahu demonstrasi ini ada pertembungan yang merugikan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 yang masih belum dibaca buat kali kedua di Parlimen.

Beliau berkata, bacaan kali kedua ini memberi peluang kepada ramai pihak untuk berhujah termasuk pihak yang tidak bersetuju dengan pindaan bagi meluaskan bidang kuasa mahkamah syariah itu.

“Terpulang kepada Speaker untuk beri peluang perbahasan,” katanya

https://youtu.be/ibwLDkyyAnc