KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri digesa memperkasakan peranan komuniti dan institusi masjid dengan mewujudkan inisiatif ‘Dapur Rakyat’ bagi membantu rakyat yang terkesan secara langsung akibat kenaikan harga minyak dan kos sara hidup.
Setiausaha PAS Kemaman YB Mohd Hafiz Adam berkata, biarpun kenaikan harga minyak merupakan cabaran peringkat global, impaknya di peringkat tempatan perlu ditangani secara kolektif oleh pihak kerajaan, peniaga, dan masyarakat.
Menurutnya, bagi menjamin kelangsungan keselamatan makanan (food security), kerajaan negeri juga disarankan memperluas projek pertanian dengan memperkenalkan konsep ‘1 Kampung 1 Produk Makanan’ bagi mengurangkan kebergantungan sumber dari luar.
“Institusi masjid dan komuniti wajar menjadi pusat kebersamaan membantu golongan terkesan. Kita boleh adakan program Dapur Rakyat, bank makanan, Pasar Berkat dengan jualan harga murah, serta tabung kebajikan komuniti tanpa syarat yang ketat.
“Dalam mendepani cabaran ini, syarikat-syarikat besar dan pemain industri juga digesa memainkan tanggungjawab sosial mereka. Jangan pindahkan sepenuhnya beban kos operasi kepada pengguna, sebaliknya kawal margin keuntungan secara beretika,” katanya.
Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Pemangku Raja Terengganu pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2026 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Bagi memastikan kelangsungan ekonomi peniaga kecil yang tertekan akibat peningkatan kos operasi, Mohd Hafiz turut menyarankan agar kerajaan negeri memikirkan penyediaan insentif subsidi logistik serta bantuan khas berbentuk one-off atau kredit mikro.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mempertingkatkan operasi bersepadu secara berkala serta memperluas senarai harga siling barangan asas bagi mengelakkan peniaga memanipulasi harga.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada kepimpinan kerajaan negeri atas kejayaan merekodkan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah pentadbiran Terengganu pada tahun 2025, iaitu sebanyak RM454.33 juta.






























