Oleh KAM
MARANG – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam khususnya kepada Pemuda PAS agar terus bersama dengan jamaah Islam.
Ini kerana, katanya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan ‘mata rantai’ kepada kumpulan Islam yang wujud di sepanjang zaman setelah kewafatan nabi Muhammad SAW.
“Di zaman tidak ada lagi nabi selepas Nabi Muhammad SAW. Peranan jamaah sangat penting sama ada menang atau pun kalah, rebah atau bangun, tenggelam atau timbul mesti bersama dengan jamaah.


“Maka, penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah ‘mata rantai’ kepada jamaah ini. PAS menegaskan di dalam Undang-undang Tubuhnya, hukum yang tertinggi Quran, Hadis, Ijma’ Ulamak dan Qias.
“PAS menubuhkan Majlis Syura Ulamak (MSU) untuk memelihara Quran, Hadis, Ijma’ Ulamak dan Qias. Rakan-rakan kita parti Islam di luar negara tidak ada kumpulan teras di dalam jamaah ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ifthor Jamaiey Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) di Rusila, Marang pada 30 Jun lalu.
Ustaz Abdul Hadi yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia mendakwa ketahanan PAS teruji sejak lebih 100 tahun lalu di alam Melayu ini.
“PAS mempunyai ketahanan sepanjang perjuangan kita (Islam), sejak Sarikat Islam 1908. Sudah 100 tahun lebih kumpulan Islam di alam Melayu ini.
“PAS adalah mata rantai (kumpulan Islam) walau pun dibelasah, dihentam, ditenyeh, ditekan dan ditindas tetapi Islam tidak mati,” tegasnya dihadapan 100 hadirin.
Ahli Parlimen Marang itu juga menyifatkan pelbagai taktik dan strategi dilakukan oleh musuh bagi memecah-belahkan Islam.


“(Ini) Bukan sahaja menubuhkan kumpulan-kumpulan yang terpesong daripada Islam. Di kalangan umat Islam yang jahil dan bebal termasuk mewujudkan pecahan-pecahan dan serpihan kepada jamaah Islam.
“Apa yang berlaku ialah ketahanan yang ada pada kita…PAS tetap teguh sebagai satu jamaah yang unggul walau pun dicabar oleh sama ada kumpulan-kumpulan musuh yang ditaja untuk menentang secara ‘totok’ (langsung) atau pun serpihan-serpihan yang diwujudkan untuk mengganggu perjalanan perjuangan Islam,” jelasnya.
Sehubungan itu, katanya golongan yang tidak bersedia menerima al-Quran Karim sama seperti menolak hidayah Allah SWT.
“Mereka tidak bersedia untuk menerima al-Quran Karim, tahu Quran itu benar, Quran itu betul, (tetapi) menolak hidayah dan tidak mendapat hidayah.
“Di sini perlunya, kita memohon hidayah dari Allah SWT dan mempertahankan hidayah itu dengan berjemaah. Di sini perlunya, kita terus di atas jalan yang benar dan memohon pertolongan Allah untuk terus berada di atas jalan yang lurus,” kata Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi.
Hadir sama Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah dan Timbalannya, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.




























