PRU16; PAS Terengganu Perkukuh Gerak Kerja, Sasar Pertahan Kemenangan 40-0

33

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu memperkukuh gerak kerja jentera pilihan raya dengan menyasarkan untuk mempertahankan kemenangan 40-0 dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Ariffin Deraman berkata, pihaknya telah merancang pelancaran gerak kerja pilihan raya di semua peringkat bermula Mei hingga Oktober ini.

“Pelancaran akan dilaksanakan di peringkat kawasan melibatkan Pemuda, Muslimat, Ulama dan jentera di setiap kawasan.

“Kita juga menggalakkan pelancaran di peringkat DUN sama ada lebih awal atau selepas pelancaran di peringkat kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pelancaran jentera pilihan raya peringkat DUN Wakaf Mempelam di Pusat Khidmat Masyarakat pada Selasa, 14 April.

Menurut beliau, PAS Terengganu kini berada pada fasa ketiga persiapan, iaitu tahap siap siaga, dengan jentera telah diarahkan untuk bersedia sepenuhnya menghadapi kemungkinan pilihan raya dalam masa terdekat.

Dari aspek kewangan, beliau memaklumkan keadaan setakat ini berada pada tahap sederhana namun mencukupi, selain menegaskan segala perbelanjaan akan mematuhi garis panduan serta undang-undang yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan bahawa PAS Terengganu turut bersedia membantu gerak kerja pilihan raya di negeri lain seperti Melaka dan Johor sekiranya berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

“Kita menjangkakan Melaka mungkin mengadakan pilihan raya lebih awal, sekitar Ogos atau Oktober.

“Kita akan membantu sepenuhnya di Melaka, khususnya di kerusi yang ditandingi bersama rakan dalam Perikatan Nasional,” ujarnya.

Tambah beliau, kerjasama bersama rakan dalam Perikatan Nasional akan terus diperkukuh, khususnya dalam usaha membantu kerusi yang ditandingi secara bersama.

Ariffin turut berpandangan bahawa Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mungkin menggunakan pilihan raya negeri sebagai kayu ukur kekuatan sebelum PRU, namun situasi ekonomi semasa dijangka menjadi faktor penentu kepada sebarang keputusan pembubaran awal.

Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa jentera PAS Terengganu kini berada dalam keadaan bersedia dan bersemangat tinggi untuk mempertahankan kemenangan 40-0 yang dicapai sebelum ini.