‘Janji Kosong’ Rumah PPRT

1341

KUALA NERUS – Sebuah keluarga terpaksa tinggal di atas rezab tepi sungai Kuala Terengganu sejak 25 tahun lalu kerana permohonan untuk memiliki rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tidak diluluskan.

Bahkan, A Aziz Embong, 70, atau lebih dikenali sebagaiPak Ramli berkata beliau terpaksa berpindah sebanyak tiga kali, sehingga lokasi rumah sekarang, dan terpaksa menghadapi air banjir setiap musim tengkujuh.

“Sudah lebih 25 tahun saya duduk (tinggal) di rumah tepi sungai ini. Rezab Sungai Kuala Terengganu di Kampung Seberang Bukit Tumbuh dan ini kali ketiga kami berpindah.

Pak Ramli1“Setiap tahun bila musim ‘bah’ (tengkujuh) dan air sungai pasang (naik) sudah pasti rumah saya dimasuki air dan terpaksa ‘lari’ (pindah) ke wakaf berhampiran.

“Kerajaan tidak peduli pun apa hendak jadi kepada orang susah (miskin) seperti kami anak-beranak ini,” ujarnya

Menurut Pak Ramli, rumah yang dibina atas rezab sungai itu pun atas ehsan orang ramai yang membantu mendirikannya.

Beliau yang tidak mempunyai pekerjaan tetap sekadar mengambil upah menggali kubur amat memerlukan rumah PPRT kerajaan negeri.

Beliau mendakwa, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan orang disekelilingnya sudah mengenalinya, namun janji mahu memberikan beliau rumah PPRT hanya ‘janji kosong’ sahaja.

“Saya jika boleh hendak rumah PPRT yang kerajaan buat untuk orang miskin dan telah banyak kali memohonnya melalui Pejabat Penyelaras Khidmat Umno Dun Bukit Tumbuh.

“Dato’ Seri Ahmad Razif sebelum jadi Menteri Besar (Terengganu) lagi telah kenal lama dengan saya dan orang-orang dia (Ahmad Razif) semua tahu masalah kehidupan saya ini

“Janji (hendak beri) sudah lama, suruh saya tunggu tapi sampai sekarang tidak dapat-dapat pun lagi. Siapalah kita ini,” ujarnya dengan nada kecewa.