Misi Membantu Pelarian di Bumi Jordan; Ke Irbid Bertemu Anak-anak Syria

1463

Oleh : Nazmi Ghazali

Perjalanan kami dari Suweileh Amman menuju ke Irbid mengambil masa perjalanan selama 1 jam lebih dengan bersamaan 61 km. Meskipun dalam suhu yang amat dingin menanti salji turun pada bila-bila masa mengikut pengalaman masyarakat disini, kami tetap meneruskan misi Edu4Syrians.

Alhamdulillah, perjalanan kali ini sederhana mudah dan berjalan lancar. Setibanya kami tiba di Irbid, kami dibantu oleh Saudara Hakim Othman untuk membuat pertemuan dengan badan pengurus sekolah Syria di Irbid yang dikepalai oleh Saudara Amir Rizwan selaku pengerusi Malaysian Arabic Society Culture.

IMG_20160128_073234Beliau merupakan pelajar medik tahun 4 di Universiti Science and Technology (JUST)

Dengan perjalanan koster sebanyak 2 buah bersama delegasi, kami dibawa menemui beliau di sekolah yang terletak di kawasan pedalaman Irbid yang dinamakan Qumaim.

Menurut temubual kami bersama Saudara Amir Ridzwan, beliau berkata “Di Irbid ini sebenarnya ramai-ramai anak Syria. Oleh kerana, pilihan sekolah disini yang terhad dan memerlukan kos yang banyak, kami mengambil keputusan untuk membangunkan sekolah yang lebih murah dari segi pengurusan dan kos bangunan. Sekolah yang dibina ini dibantu sepenuhnya oleh sumbangan-sumbangan yang kami dapatkan dari penderma-penderma di Malaysia”

Beliau menyambung lagi, “Kerajaan Jordan membantu pembelajaran anak-anak Syria di sebelah petang. Manakala waktu pagi pula digunakan untuk sekolah biasa penduduk Jordan. Dan melihatkan keadaan ini, dengan bilangan sekolah percuma yang sedikit dan anak Syria yang ramai, menjadi punca utama untuk kami dan para sukarelawan membina sekolah rendah ini”

“Sejak 3 tahun lepas, kami berjaya membuka 3 buah sekolah , 1 tadika seramai 40 pelajar. 1 pusat tuisyen seramai 80 pelajar dan 1 sekolah rendah dengan darjah 1, 2, dan 3 seramai 48 orang. Tenaga pengajar kami disini terdiri daripada sukarelawan para pelajar Malaysia.”katanya.

IMG_20160128_074031Kami ajukan soalan kepada sukarelawan. Tanya kami, “Bagaimana pengurusan masa kalian sebagai pelajar sambil membantu sekolah ini?”

Dengan senyum, Saudara Amir Rizwan menjawab,“Kami gunakan ruang masa kosong di celah jadual kuliah pengajian kami iaitu pada hujung minggu dan aturkan jadual dikalangan sahabat kami”

Kami menyambung,“Bagaimana pula dengan bayaran?

“Bagi kami, bayaran adalah soal kedua. Yang penting bagi kami adalah menunaikan tanggungjawab kami untuk turut sama memberi ilmu kepada anak-anak Syria yang tidak mampu menanggung kos pembelajaran mereka,”

Tambah beliau,“Kami hanya dapat membantu 200 orang pelajar sahaja dalam satu-satu masa dan buat masa sekarang. Sedangkan yang memerlukan dan menunggu bantuan kami adalah seramai 3000 orang. Disini, kami saling berusaha dengan sahabat-sahabat yang lain untuk membantu yang lain-lain dan lebih ramai lagi.

“Kami juga berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia seperti yang dilakukan oleh delegasi Yayasan Amal Malaysia untuk turun membantu dan sudi melihat sendiri usaha kami terhadap pendidikan kanak-kanak Syria ini,”jelas beliau

Kehadiran kami semasa kelas dijalankan disambut meriah oleh anak-anak Syria. Mereka menghadiahi kepada kami sebuah lagu kanak-kanak. Riang dengan tarian comel. Pengajian mereka dihentikan seketika kerana kehadiran kami, lalu kami santuni dengan mengagihkan alat tulis serta gula-gula yang dibekalkan oleh Sabasun Hyperuncit.

IMG_20160128_073253Melihatkan keadaan ini, betapa kami merasakan bahawa kami perlu mengambil kesempatan ini untuk sama-sama memberi bantaun. Penerimaan mereka terhadap kehadiran kami walaupun dengan agihan gula-gula dan alat tulis yang tidak seberapa, menceriakan riak wajah anak-anak kecil ini.

Pertemuan kami berakhir dengan pemberian sumbangan kewangan oleh Cikgu Fauzi, Pengarah EduSyrians.

Kami terpaksa berpisah untuk melaksanakan misi bantuan seterusnya iaitu di sekolah anak-anak Syria yang terletak di Bandar Irbid.

Sekolah ini berdekatan dengan rumah para pelajar yang mengambil kos medik atau agama di Irbid.

Menempuhi perjalanan selama 15 minit, kami sampai di lokasi seterusnya.

Untuk makluman, sekolah ini diusahakan oleh 2 buah kumpulan iaitu kumpulan Teach For The Needs (TFTN) dan Malaysian Arabic Culture Society (MACS)

Berkata salah seorang sukarelawan TFTN dan MACS, “Walaupun kos sewa bangunan disini agak mahal tetapi para sukarelawan tetap mengambil langkah untuk menyewa tempat yang bersesuaian berikutan keramaian anak-anak Syria yang perlu dibantu. Kami yakin,

IMG_20160128_074130“walaupun kami hanya berstatus pelajar dan tiada pendapatan tetap namun kami bersyukur, ramai rakyat Malaysia yang sudi hulurkan bantuan kepada kami seperti yang telah dilakukan oleh Yayasan Amal cawangan Terengganu kepada kami. Kami mengucapkan ribuan terima kasih diatas kesudian kalian membantu kami disini,”ujarnya

Mohd Fauzi Abu Samah, Pengarah Edu4Syrians menghulurkan sumbangan kewangan untuk menampung sedikit kos keperluan mereka.

Usai misi Edu4syrias kami dijemput oleh pelajar Malaysia di Irbid untuk santapan juadah seadanya. Disini dapatlah kami berkenalan dan bertanya khabar. Sambil-sambil mengenali para pelajar dan mengenali budaya pelajar Malaysia yang belajar disini.

Yang menariknya, di Irbid terdapat beberapa kumpulan pelajar yang mengusahakan restoran sendiri. Mereka dikenali dengan nama Jordan Malaysia antaranya restoran NM Malaysia.

Bersama deligasi kami seorang YB iaitu Ustaz Mohd Nor Hamzah untuk memenuhi ruang pertemuan ini. Beliau memberi sedikit nasihat kepada pelajar disini.

Antara ucapan beliau di dalam pertemuan bersama pelajar Malaysia di Irbid, “Kamu semua mempunyai amanah yang besar dari keluarga, diamanahkan untuk menyampaikan ilmu yang dipelajari dan terakhir diamanahkan menjadi khalifah dibumi Allah. Peluang yang diberi Allah ini, gunakan sebaiknya untuk mencapai yang terbaik dalam hidup,”tegas ADUN Bukit Payong, Terengganu itu.

IMG_20160128_072146Pada hari kemudiannya pula, hari kami menyantuni pelarian Syria di Amman Jordan yang berpusat di Darul Aitam Sweileh. Disini kami dibantu oleh Saudara Ammar Yaser wakil Yayasan Amal di Amman yang mengaturkan pertemuan dengan Abu Salamah, Mudir di Darul Aitam.

Bekalan makanan telah diagihkan sebanyak 60 pek bagi setiap keluarga. Selain itu, kami juga telah menyampaikan pemanas dan juga selimut tebal buat kegunaan mereka di musim sejuk ini.

Terima kasih kepada seluruh rakyat malaysia yang banyak menyumbang kepada tabung kemanusiaan ini. Didoakan ganjaran dan balasan setimpal dikurniakan oleh Allah swt terhadap semua penderma.

Melihatkan keadaan dan kesusahan rakyat Syria dihadapan mata, membuka mata kami akan persaudaraan sesama Islam. Betapa Allah SWT menggalakkan umat Islam saling membantu antara satu sama lain.

Nazmi JordanSelain menambah persaudaraan, ia juga memberikan keceriaan di wajah anak-anak kecil ini.

Teringat pula penulis kepada ungkapan kata-kata, “Harapan tidak pernah mati, ia sentiasa ada”

Semoga usaha kami membantu anak-anak Syria ini menumbuhkan harapan dan kegembiraan buat anak-anak kecil ini. Impian kami adalah ingin melihat kelangsungan hidup dan memberikan kegembiraan buat mereka.

Terlintas dihati untuk sama berkongsi beban penderitaan anak-anak Syria dengan melebarkan perniagaan Nr Cafe di bumi Irbid seperti mereka terdahulu.

Paling kurang membawa pelajar yang kurang berkeupayaan untuk sama sama berganding bahu dalam perniagaan.

InsyaAllah semoga dipermudahkan.

*** Nazmi Ghazali adalah salah seorang sikarelawan bersama Yayasan Amal Cawangan Terengganu, beliau juga adalah seorang aktivis media Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu