KUALA TERENGGANU – Pendekatan politik matang dan pentadbiran berteraskan keadilan terus menjadi tunjang utama yang memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan PAS.
Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2018, kerajaan negeri memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat tanpa membezakan fahaman politik serta latar belakang masyarakat.
Menurut beliau, Menteri Besar ketika itu menegaskan bahawa persaingan politik berakhir sebaik kemenangan dicapai, manakala amanah mentadbir negeri perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat.
Katanya, kerajaan negeri berjaya melaksanakan lebih 20 tawaran manifesto pilihan raya sebagai bukti komitmen terhadap janji yang diberikan kepada rakyat.
“Alhamdulillah, semua manifesto yang dijanjikan berjaya ditunaikan. Pendekatan kerajaan negeri adalah membantu seluruh rakyat yang layak tanpa mengira mereka penyokong hijau, biru, oren mahupun merah,” katanya ketika berucap pada program ceramah perdana di Waterfront, Pulau Kambing, jumaat.
Beliau berkata, prinsip keadilan yang diamalkan kerajaan negeri berjaya meningkatkan keyakinan rakyat sehingga PAS mencipta kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2023 dengan menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta lapan kerusi Parlimen di Terengganu.
Menurutnya, konsep “Maju, Berkat dan Sejahtera” yang dibawa kerajaan negeri terus mendapat penerimaan rakyat kerana manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat di bandar dan luar bandar.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kerajaan negeri turut mengamalkan prinsip kesinambungan pembangunan dengan meneruskan projek-projek terdahulu yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita tidak membatalkan projek kerajaan sebelum ini sekiranya projek tersebut baik dan telah melibatkan perbelanjaan besar. Sebaliknya kita melakukan penambahbaikan atau islah supaya manfaatnya dapat diteruskan demi kepentingan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut berkata kestabilan pentadbiran negeri memberi kesan positif kepada sektor pelancongan apabila Terengganu menerima kehadiran pelancong yang tinggi setiap hujung minggu menerusi pelbagai program komuniti dan acara berskala besar.
Tambahnya, Terengganu kini semakin mendapat perhatian delegasi luar negara termasuk dari Australia dan Singapura yang hadir melihat sendiri pembangunan serta suasana harmoni di negeri itu.
“Tidak hairanlah Terengganu diiktiraf sebagai negeri paling bahagia di Malaysia, malah tiga PBT iaitu MPKT, Majlis Daerah Marang dan Majlis Daerah Setiu turut tersenarai antara 10 bandar paling bahagia di negara ini,” katanya.
Walaupun berdepan cabaran berkaitan isu penyaluran royalti petroleum yang didakwa tidak mengikut perjanjian asal, beliau menegaskan kerajaan negeri kekal komited meneruskan agenda pembangunan serta menunaikan amanah kepada rakyat demi kesejahteraan negeri.




























